52 peserta TSK di Pontian terima dividen

Mohd Salim (belakang, enam dari kiri) bergambar bersama kesemua penerima dividen dan bantuan RISDA pada majlis berkenaan.
Mohd Salim (belakang, enam dari kiri) bergambar bersama kesemua penerima dividen dan bantuan RISDA pada majlis berkenaan.
A
A
A

KLUANG - Seramai 52 pekebun kecil dari Kampung Parit Seraya, Pontian menerima dividen inisiatif Tanam Semula Komersial (TSK) di bawah kendalian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, pemberian dividen pertama bagi tahun 2022 itu melibatkan peruntukan berjumlah RM26,000, sementara penerima memperoleh dividen sebanyak RM500 bagi setiap seorang.

“Program TSK menerusi RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) ini menguruskan penyatuan kebun-kebun kecil daripada peringkat pembangunan sehingga pengeluaran hasil secara cekap dan lebih menguntungkan.

“Dividen diserahkan kali ini melibatkan pekebun kecil Kampung Parit Seraya, Pontian iaitu jumlah keseluruhannya seramai 52 peserta yang mewakili 52 lot tanaman seluas 85.1237 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Dividen Tanam Semula Komersial Peserta TSK Parit Seraya di Balai Raya Kampung Chokro di sini, pada Ahad.

Difahamkan, terdapat Sembilan projek TSK di negeri Johor melibatkan jumlah keseluruhan seramai 520 peserta dengan tanaman seluas kira-kira 536 hektar.

Senarai projek-projek TSK yang telah dilaksanakan adalah TSK Maokil, TSK Medoi B&E, TSK Lukut Rambah, TSK Kampung Lanjut, TSK Kampung Parit Seraya, TSK Sayong Pinang, TSK Chemplak 25, TSK Chemplak 25 Fasa 2 dan TSK Tekam.

Mohd Salim turut berkesempatan menyerahkan peruntukan bagi permohonan bantuan ekonomi tambahan (AET) yang telah diluluskan kepada lima penerima bernilai RM10,000 setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bantuan yang diagihkan itu merupakan salah satu usaha RISDA membantu keluarga pekebun kecil menambah sumber pendapatan dengan menceburi bidang perniagaan.

“RISDA bukan semata-mata mengenai pekebun kecil dan tanaman getah sahaja. Kita mempunyai pelbagai cabang untuk mengembangkan taraf hidup ahli-ahli meningkatkan pendapatan.

“Menerusi AET ini, kita beri bantuan untuk keluarga pekebun kecil meluaskan perniagaan. Kali ini, penerimanya adalah pengusaha kedai gunting rambut, andaman dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu katanya, pada tahun ini RISDA juga memperuntukkan sebanyak RM86.57 juta bagi pembangunan produktiviti dan pemasaran pekebun-pekebun kecil getah di seluruh negara.

Peruntukan itu dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 39,620 pekebun kecil yang menerima bantuan tanam semula getah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kita mempunyai misi untuk menjayakan peningkatan pendapatan RM4,500 pekebun kecil menjelang tahun 2025.

“Usaha ini akan menumpukan kepada enam program utama iaitu peningkatan produktiviti getah, skim insentif getah dan lateks serta pembangunan infrastruktur pemasaran. Ia turut melibatkan program pemasaran dalam ladang dan rancangan khas pemulihan kebun,” katanya.

REAKSI PENERIMA

Md Puji
Md Puji

“Pengurusan TSK ini sangat baik. Ini cara baru pekebun kecil boleh manfaatkan sepenuhnya kebun mereka.” - Md Puji Selamat, 63

Normahni
Normahni

“Bantuan ini menstabilkan semula pendapatan saya selepas lama bertahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan dan pandemik Covid-19.” - Normahni Jarkoni, 57

Muzaiyanah
Muzaiyanah

“Bantuan ini menunjukkan RISDA satu agensi kerajaan yang prihatin. Saya sebagai keluarga pekebun kecil juga menerima manfaatnya.” - Muzaiyanah Jayos, 48