Keluarga Wak Siti dibantu sejak 2020

Laporan Sinar Harian berkenaan kisah keluarga Wak Siti baru-baru ini.
Laporan Sinar Harian berkenaan kisah keluarga Wak Siti baru-baru ini.
A
A
A

GOMBAK - Keluarga warga emas, Wak Siti Bah Pat, 67, yang tinggal di sebuah rumah kayu usang berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak di Kilometer 24 Jalan Pahang Lama di sini dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2020.

Orang Besar Daerah (OBD) Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa'wan Teh melalui kenyataan pada Sabtu memaklumkan, dua daripada lima anaknya yang memeluk agama Islam menerima bantuan bernilai RM19,526 dua tahun lalu hingga kini dan jumlah itu tidak termasuk bantuan persekolahan.

Menurutnya, Wak Siti juga seorang balu kepada bekas pekerja Jabatan Kemajuan Orang Asli dan menerima pencen bekas suami berjumlah RM1,600 sebulan.

"Jumlah yang diterima oleh keluarga ini lebih banyak daripada golongan B40 di kampung-kampung Melayu berdekatan.

"Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini kerana ia menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan pekerja kebajikan dan LZS yang sentiasa mengambil peduli individu yang menghadapi kesempitan hidup dalam daerah ini," katanya.

Wan Mahmood sebelum itu meninjau keadaan rumah Wak Siti selepas menerima laporan Sinar Harian berkaitan keluarga itu.

Beliau memaklumkan keadaan bumbung rumah warga emas itu tidak terlalu uzur dan seperti baru diganti.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau turut menawarkan kepada keluarga Wak Siti untuk berpindah ke kawasan Orang Asli berdekatan sementara pihaknya memberi bantuan untuk mendirikan rumah baharu.

Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan kisah keluarga Wak Siti yang hanya mampu mendiami sebuah rumah kayu usang berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak di Kilometer 24 Jalan Pahang Lama di sini kerana tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

Dia mendiami rumah kayu usang berkenaan bersama 16 ahli keluarganya sejak kematian suami kira-kira 10 tahun lalu.