Vaksin CoronaVac berkesan lindungi kanak-kanak: Pakar

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dilihat berkesan dalam melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti wabak Covid-19, sekali gus dapat mengurangkan kemasukan golongan itu ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Hospital Sungai Buloh, Dr See Kwee Ching berkata, keberkesanan vaksin berkenaan yang mendapat kelulusan bersyarat pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah yang ke-370, 3 Mac lepas, telah dibuktikan menerusi kajian dilakukan di Chile.

”Vaksin ini telah melalui kajian di Chile melibatkan dua juta kanak-kanak berusia enam hingga 16 tahun dengan keberkesanan terhadap mereka adalah utuh (daripada dijangkiti) dengan sekitar 75 peratus manakala lebih 90 peratus kurang kadar kemasukan ke hospital dan ICU.

”Bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, keberkesanan juga sama, sekitar 75 peratus dan 77 peratus kurang kemasukan ke hospital dan ICU.

"Ini sekali gus melepasi ambang ditetapkan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) iaitu 50 peratus untuk pencegahan jangkitan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Ahad dilaporkan berkata, kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang tidak boleh menerima vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech atas sebab kesihatan akan ditawarkan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac oleh petugas kesihatan.

Dr Noor Azmi berkata, vaksin berkenaan akan mula ditawarkan mulai esok di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih dan ibu bapa juga diberi pilihan untuk vaksin CoronaVac diberikan kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju dengan vaksin Comirnaty.

Vaksin berkenaan menjadi vaksin kedua diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Kwee Ching yang juga Ketua Jabatan Pediatrik di hospital berkenaan berkata, penggunaan vaksin CoronaVac bukanlah asing di negara ini memandangkan ia pernah digunakan pada program vaksinasi untuk golongan remaja dan dewasa.

”Dos yang akan digunakan adalah sekitar tiga mikrogram sama seperti dos untuk dewasa. Di China, kajian yang dijalankan menunjukkan dengan dos 1.5 mikrogram, ia tidak memberi keberkesanan yang utuh berbanding tiga mikrogram yang mencukupi untuk memberi perlindungan.

Jadi tiada keperluan untuk dos diturunkan. Penggunaan vaksin ini juga akan meningkatkan kadar vaksinasi kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Kwee Ching berkata, kanak-kanak perlu divaksin memandangkan kumpulan itu perlu menjalani pembelajaran di sekolah malah tidak boleh berterusan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana ia akan memberi kesan kepada mereka.

”Kanak-kanak perlu bersosial dan kalau dikurangkan waktu ke sekolah, ia adalah tidak baik. Untuk membolehkan mereka ke sekolah dengan selamat, mereka perlu divaksin.

Ini juga merupakan sebahagian daripada hala tuju negara untuk beralih ke fasa endemik secepat mungkin memandangkan kumpulan ini yang berjumlah 3.6 juta orang macam ‘kepingan susun suai gambar belum ditemui’, yang akan menjadi pelengkap ke arah tersebut,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 1,003,227 individu atau 28.3 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).- Bernama