Cabaran baharu murid SJKT, SJKC

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun 2021 di Malaysia sekali gus Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan tidak akan ada peperiksaan ganti lain untuk murid tahun enam.

Pemansuhan UPSR telah membuka ruang kepada KPM untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah dengan melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai kaedah pentaksiran murid.

Pendirian KPM tidak mengadakan peperiksaan ganti lain bagi murid tahun enam itu masih kekal namun perubahan baharu telah diimplimentasikan di semua sekolah vernakular mulai tahun ini melalui perkenalan Ujian Pengesanan Literasi Bahasa Melayu (UPLBM).

Baru-baru ini, KPM telah mewajibkan murid tahun enam di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) seluruh negara perlu mencapai Tahap Penguasaan (TP) 4 hingga TP6 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Pencapaian TP4 dan TP6 dalam subjek Bahasa Melayu itu menjadi tiket kelayakan untuk memasuki tingkatan satu di kesemua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) kepada murid-murid tahun enam daripada SJKT dan SJKC.

Pihak KPM turut menegaskan bahawa mana-mana murid tahun enam telah memperoleh pencapaian TP1 hingga TP3 dalam pentaksiran itu perlu dinilai selanjutnya dengan menduduki ujian UPLBM.

Menurut akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban, keperluan mendapat pencapaian TP4 hingga TP6 tambahan pula dengan ujian UPLBM akan menjadi satu cabaran baharu kepada murid sekolah vernakular.

Sementara itu, tahap penguasaan Bahasa Melayu dijadikan sebagai penanda aras untuk menentukan kredibiliti murid sekolah vernakular ke tingkatan 1 juga dipercayai bakal membebankan golongan murid tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelas Malaysia Nanban lagi, murid tahun enam yang gagal dalam ujian UPLBM akan ditempatkan di kelas peralihan selama setahun bagi memperbaiki tahap penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Ujian UPLBM telahpun dijalankan di semua SJKT dan SJKC pada 14 Februari lepas.

Dalam pada itu, barisan bekas guru besar-guru besar SJKT tampil meluahkan rasa kurang puas hati dengan pelaksanaan perubahan berkenaan disebabkan akan berlaku pembaziran masa dan ilmu di kelas peralihan.

Sejarah kewujudan kelas peralihan dalam sistem pendidikan nasional negara telah bermula sejak 1960. Tampuk kepimpinan kerajaan pada era itu telah mengemukakan Laporan Rahman Talib dan mencadangkan untuk mewujudkan kelas peralihan manakala ia telah dilaksanakan selepas Akta Pendidikan 1961 dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, pada 1995, syarat untuk murid SJKT dan SJKC terus belajar ke tingkatan satu dilonggarkan dengan syarat mereka harus mendapat keputusan baik hingga memuaskan dalam subjek Bahasa Melayu.

Sebaliknya, murid yang gagal mendapat keputusan bersyarat itu diwajibkan memasuki kelas peralihan selama setahun dan dasar tersebut dilaksanakan sehingga hari ini.

Bekas guru besar-guru besar berkenaan berkata, murid SJKT dan SJKC yang telah mempelajari serta menguasai Bahasa Melayu selama enam tahun di sekolah vernakular tidak wajar dibebankan lagi dengan ujian-ujian sebegini dilihat sebagai halangan untuk memasuki Tingkatan 1.

Mereka juga mengesyorkan bahawa murid sekolah vernakular juga diberi keistimewaan sama seumpama pelajar sekolah kebangsaan untuk terus belajar di Tingkatan 1 tanpa sebarang ujian tambahan.

Justeru ujian UPLBM sudah pun dijalankan di semua sekolah vernakular jadi KPM perlu memastikan tahap ujian itu cukup mudah dan mampu dilalui murid-murid tersebut.

Tahap dan standard UPLBM yang mudah serta berkualiti tentu dapat membantu murid-murid untuk skor dengan cemerlang dan terus memperoleh tiket kelayakan ke tingkatan satu dengan baik.

Pelaksanaan UPLBM sungguhpun dilihat sebagai keperluan penting kepada KPM untuk mengekalkan kualiti sistem pendidikan kebangsaan.

Setiap perubahan baharu yang diimplementasikan turut perlu dipastikan tidak menjadi beban kepada murid, guru dan ibu bapa serta masa depan generasi akan datang.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor