Undi pos kurang, SPR perlu jalankan siasatan segera

Dari kiri; Naim, Abdullah, Syed Ibrahim, Yoong Thau, Azmi, Subramani ketika sidang akhbar bersama lima calon PKR di Sungai Balang, Muar, pada Sabtu.
Dari kiri; Naim, Abdullah, Syed Ibrahim, Yoong Thau, Azmi, Subramani ketika sidang akhbar bersama lima calon PKR di Sungai Balang, Muar, pada Sabtu.
A
A
A

MUAR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjalankan satu siasatan segera untuk mengenalpasti punca berlakunya kekurangan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, hanya 7,814 undi pos bagi warganegara Malaysia berada di luar negara yang berdaftar daripada 200,000 rakyat di sana.

“Jumlah undi ini sangat membimbangkan. Jika benar terdapat anggaran 200,000 rakyat Johor yang tinggal di Singapura layak mengundi secara pos dan hanya 7,814 yang berdaftar, maka ini hanya 0.04 peratus sahaja.

“Apakah punca begitu rendah peratusnya? Adakah kerana masa, hebahan dan galakkan tidak tidak mencukupi oleh SPR?” katanya ketika sidang akhbar bersama lima calon PKR di Sungai Balang, Muar pada Sabtu.

Hadir sama, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, C Subramani; Gambir, Naim Jusri; Pemanis, Yoong Thau; Sri Medan, Azmi Masrani dan Sungai Balang, Abdullah Sahid.

Pada Jumaat, SPR sudah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada mereka yang berhak dan layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 1 hingga 3 Mac dijalankan petugas pilihan raya di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, SPR juga perlu mengkaji sistem pendaftaran undi pos dalam talian yang dipercayai mempunyai masalah teknikal untuk mendaftar.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana sebelum ini memang ada aduan yang diterima dalam kalangan pengundi di Johor yang ingin mendaftar, namun gagal kerana ada masalah teknikal.

“Akhirnya mereka pun berputus asa. Jadi ini adalah halangan yang saya rasa mungkin peratus itu agak rendah, bukan kerana mereka tidak mahu mengundi tetapi ia kerana masalah teknikal,” katanya.

Jelas beliau, perkara itu tidak seharusnya diambil mudah oleh SPR kerana ia menafikan hak buat pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Jangan sekadar menyebut jumlah macam tiada apa-apa yang berlaku, maksud saya kita ada tanggungjawab.

“SPR bukan sekadar hanya jalankan pilihan raya, tetapi mereka seharusnya memastikan rakyat boleh mengundi dengan adil, telus dan terbuka,” katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my