Selangor catat rekod pelaburan, peluang pekerjaan tertinggi

Amirudin Shari ketika dalam sidang media di sini.
Amirudin Shari ketika dalam sidang media di sini.
A
A
A

SHAH ALAM- Selangor mencatatkan sejarah tersendiri apabila mencatatkan rekod tertinggi sejak 30 tahun lalu dalam pelaburan bagi negeri ini.

Prestasi pelaburan negeri sekaligus mencatatkan prestasi terbaik bagi Selangor secara amnya dan khusus kepada Invest Selangor Berhad.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata apa yang dicapai ini sekaligus melebihi sasaran.

"Statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia(MIDA) 2018, sebanyak 241 projek perkilangan telah diluluskan di Selangor bagi tahun ini berbanding sebanyak 202 projek perkilangan yang diluluskan pada 2017.

"Jumlah projek yang diluluskan ini merupakan tertinggi dalam negara bagi 2018 berbanding negeri lain, dan ia juga mencatatkan peningkatan sebanyak 19 peratus dari segi bilangan projek," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ruang lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Katanya, jumlah nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM18.947 bilion.

"Ia merupakan peningkatan berbanding sebanyak RM5.592 bilion pada 2017.

Artikel Berkaitan:

"Pencapaian yang tinggi ini merupakan peningkatan sebanyak 238 peratus berbanding tahun sebelumnya dan sekaligus merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri ini," katanya.

Menurutnya, pencapaian ini diterjemahkan melalui keyakinan pelabur asing dan pelabur tempatan.

"Pelaburan langsung asing(FDI) menunjukkan peningkatan sebanyak 400.7 peratus berbanding tahun sebelumnya

"Pelaburan pelabur tempatan menunjukkan peningkatan sebanyak 136 peratus berbanding tahun sebelumnya, pada 2018 sejumlah RM8.11 bilion disumbangkan oleh pelabur tempatan berbanding RM3.427 bilion pada 2017," katanya.

Tambahnya, sebanyak 18,475 peluang pekerjaan direkodkan di sektor perkilangan bagi tahun 2018.

"Ia merupakan jumlah tertinggi di negara ini dan mencatatkan peningkatan sebanyak 84 peratus berbanding 10,031 peluang pekerjaan sektor perkilangan pada 2017," katanya.

Jelasnya, kejayaan prestasi ini menunjukkan keyakinan komuniti perniagaan antarabangsa dan tempatan terhadap ketelusan dan kecekapan kerajaan negeri.

"Keberkesanan usaha kerajaan negeri menerusi agensi penggalakan pelaburan iaitu Invest Selangor Berhad.

"Selain itu ianya juga hasil daripada kerjasama dan sokongan padu dari Jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang lain seperti pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan agensi teknikal lain," katanya.