Penang FC bikin JDT 'bermandi peluh'

Bergson cuba melepasi pertahanan Penang FC dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Bergson cuba melepasi pertahanan Penang FC dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

PENYANDANG juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 1-0 ke atas Penang FC dalam aksi sulung Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Pengendali JDT, Benjamin Mora melakukan rombakan kecil apabila menurunkan pemain import baharu, Moussa Sidibe serta menyenaraikan Afiq Fazail dan Shahrul Saad dalam kesebelasan utama.

Sepanjang tempoh 45 minit babak pertama, JDT dilihat muda menguasai tempo permainan, namun anak-anak buah Mora agak bergelut merobek gawang Penang FC yang dikawal penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil.

JDT mula mengancam kubu pelawat pada minit ke-18 selepas bola umpanan Carli De Murga tepat kepada Fernando Forestieri, namun bola sekadar melewati palang gol tatkala Khatul Anuar sudah tertewas.

Skuad Harimau Selatan terus melancarkan beberapa serangan ke kubu Penang FC, namun mereka terus kecewa apabila gagal menjelmakan sebarang gol sehingga tamat aksi babak pertama.

Bersambung babak kedua, Mora meletakkan Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan tempat Sidibe yang kurang menyerlah di posisi tengah.

Nazmi Faiz hampir mencipta jaringan pada minit ke-54 selepas merembat bola deras di luar kotak penalti, namun sempat ditepis Khatul Anuar.

Malang buat JDT apabila peluang terhidang pada minit ke-65 dipersia-siakan penyerang import, Fernando Forestieri selepas gagal menyudahkan bola tampanan Khatul Anuar berpunca rembatan deras Ariff Aiman Hanapi.

Artikel Berkaitan:

Selepas bertali arus mengasak ke kubuPenang FC, JDT akhirnya memperoleg gol yang dicari-cari apabila hantaran pemain gantian, Syahmi Safari disudahkan Bergson Da Silva pada minit ke- 70.