Program Taman Angkat bantu kekang jenayah

Rosli ketika ditemui pemberita di Malaysia International Trade And Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Rosli ketika ditemui pemberita di Malaysia International Trade And Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Strategi dalam usaha mengurangkan kadar serta mengekang jenayah di seluruh negara akan terus diperluaskan menerusi program Taman Angkat.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, program yang telah mula dilancarkan sejak awal tahun lalu kini telah mempunyai sebanyak 14 Taman Angkat bagi seluruh kontinjen negeri.

Menurutnya, bermula tahun ini, JPJKK telah mengarahkan setiap kontinjen untuk mewujudkan lagi 14 Taman Angkat.

"Sudah tentu dengan pelaksanaan program ini, ia boleh menggalakkan kerjasama terhadap golongan suri rumah khususnya dengan kehadiran anggota skuad Aman Wanita (AMANITA) dalam usaha mengekang berlakunya jenayah.

"Jika program ini berjaya dipenuhi, akan terdapat sebanyak 28 Taman Angkat bagi keseluruhan kontinjen," katanya kepada pemberita selepas Forum 'Towards A Safe Living And Working Environment' Sempena Pameran International Fire and Security Exhibition & Conference (IFSEC) Southeast Asia 2019 di Malaysia International Trade And Exhibition Centre (MITEC), di sini, hari ini.

Mengulas tentang kriteria pemilihan Taman Angkat, Rosli berkata, pemilihan adalah berdasarkan kadar indeks jenayah serta masalah sosial yang tinggi di kawasan setiap kontinjen.

Katanya, ia termasuklah seperti permasalahan dadah serta mat rempit.

"Pelaksanaan program Taman Angkat ini dilihat mempunyai impak positif apabila berjaya mengurangkan kadar jenayah dengan konsep penerapan kadar rondaan serta kerjasama bersama penduduk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai Program 1Masjid 1Polis (1M1P) beliau berkata, program itu menunjukkan keberkesanan apabila kadar jenayah berjaya diturunkan antara tiga dan empat peratus.

“Melalui program ini kita berjaya kurangkan kadar jenayah. Bukan sahaja di masjid, tapi kita juga turut tumpu pada rumah ibadat lain seperti kuil dan gereja.

"Ini amat bertepatan bagi mengelak seperti yang berlaku di New Zealand. Kita berharap dapat mengekang perkara demikian dan akan meneruskan usaha ini bagi mengelak kejadian jenayah selain ancaman anti agama serta pengganas," katanya.