JTDL bantu peniaga jual dengan harga munasabah

Nik Muhammad Zawawi (tiga, dari kanan) menyaksikan gimik perasmian JTDL di Aeon Mall di sini.
Nik Muhammad Zawawi (tiga, dari kanan) menyaksikan gimik perasmian JTDL di Aeon Mall di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) membolehkan peniaga menjual barangan dengan harga yang munasabah tanpa melibatkan pihak ketiga.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sebelum ini petani dan pengusaha kampung terpaksa berdepan cas tambahan apabila menggunakan perkhidmatan orang tengah untuk memasarkan barangan mereka.

Menurutnya, ini kerana mereka tidak mempunyai kemahiran untuk mengolah perniagaan mereka sehingga diambil kesempatan oleh pihak ketiga.

"Bila ada jualan seperti ini maka petani boleh menjual dengan harga yang munasabah sebab tidak melibatkan pihak ketiga.

"LPP juga bertindak menjadi pembantu kepada mereka dengan memasarkan barangan mereka, termasuklah menyediakan pelbagai kemudahan lain secara percuma," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang anjuran LPP Kelantan di pusat membeli belah, Aeon Mall, di sini.

Selain itu, turut diadakan majlis menandatangani perjanjian pemegang konsesi produk-produk hasil pertanian keluaran Pertubuhan Peladang dan usahawan peladang kawasan Pengkalan Chepa dan Bachok dengan pasaraya berkenaan.

Turut hadir, Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengerusi Pertubuhan Peladang, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Pengarah LPP Kelantan, Mohd Hanifa Awang Su.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, LPP Kelantan turut mensasarkan RM120,000 jualan untuk kali ini melibatkan tempoh lima hari jualan, termasuk tiga hari daripada hasil jualan produk Industri Asas Tani (IAT) yang bermula pada 1 Mac lalu.

Katanya, program berkenaan kali ini melibatkan 21 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) melibatkan 22 orang usahawan peladang.

Beliau turut memaklumkan, program berkenaan akan ditambahbaik dari semasa ke semasa termasuklah untuk memanjangkan tempoh jualan dan menambah kekerapan penganjuran.