Motosikal cari rezeki rentung dalam kebakaran

Zullifli menunjukkan motosikal jenis Honda Dash miliknya yang hanya tinggal rangka.
Zullifli menunjukkan motosikal jenis Honda Dash miliknya yang hanya tinggal rangka.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang penghantar makanan buntu memikirkan nasibnya selepas motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki musnah dalam kebakaran di Blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri pada Jumaat.

Zulkifli Abdullah, 37, berkata, dia tidak mampu membeli motosikal baharu dalam kadar segera memandangkan kurang berkemampuan.

Menurutnya, buat sementara waktu dia terpaksa meminjam motosikal adiknya atau mungkin berehat sebentar menghantar makanan sehingga memiliki motosikal ganti.

"Saya sudah gunakan motosikal itu enam tahun, ingatkan bila habis bayar boleh bernafas sedikit, tapi tak sangka pula terlibat dalam kebakaran ini.

"Saya sebenarnya tinggal di Cheras dan kebetulan tidur di rumah mak di sini. Jam 4 pagi dengar bunyi bising, bila tengok api sudah marak dan memang tak sempat hendak selamatkan motosikal saya," katanya kepada Sinar Harian.

Zulkifli berkata, kejadian itu kali kedua berlaku di PPR Intan Baiduri, sebelum ini kejadian serupa berlaku di Blok E, namun tidak seteruk kejadian pada kali ini.

"Saya berharap siasatan terperinci dilakukan dan jika berunsur khianat pelaku perlu diambil tindakan tegas kerana telah menyebabkan kerosakan harta benda yang banyak," katanya.

Seorang lagi mangsa, Khairul Shaadid Mohd Stures, 29, berkata, dia terkilan motosikal yang baharu dipakai enam bulan turut terjejas dalam kejadian tersebut.

Keadaan motosikal dan kereta yang musnah dalam kebakaran di PPR Intan Baiduri pada Jumaat.
Keadaan motosikal dan kereta yang musnah dalam kebakaran di PPR Intan Baiduri pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun sedih, namun saya lega kerana motosikal saya terbakar sedikit sahaja dan tidak seteruk motosikal lain.

"Saya periksa enjin motosikal masih boleh dihidupkan, namun perlu menggantikan 'cover' set yang terbakar di bahagian kiri," katanya.

Seorang warga emas, Asma Idris, 67, berkata, motosikal suaminya turut musnah dalam kejadian itu.

"Jiran ketuk pintu bagi tahu ada kebakaran. Saya ingatkan rumah terbakar rupa-rupanya motosikal penduduk yang musnah.

"Walaupun sedih, namun bersyukur kerana kejadian tidak melibatkan nyawa. Cuma saya harap ciri-ciri keselamatan di sini dapat dipertingkat melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) atau rondaan berkala bagi mengelak insiden sama berulang," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 4 pagi itu, sebanyak 48 motosikal dan empat kereta musnah di Blok C PPR Intan Baiduri.

Kejadian dipercayai bermula daripada sebuah motosikal sebelum merebak ke motosikal lain yang diletak di kawasan parkir berbumbung serta empat kenderaan yang diletak berhampiran.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi menyiasat sama ada kebakaran mempunyai elemen khianat.