Latihan IR4.0 belia Kahang antara fokus Vidyananthan

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Selain memberikan fokus kepada program berkisar pertanian, golongan belia di sekitar Kahang, golongan belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang turut diberi pendedahan tentang Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN itu, R Vidyananthan berkata, sepanjang menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 2008, beliau telah melaksanakan pelbagai program bagi golongan muda termasuk latihan berkaitan IR4.0, latihan kemahiran dan teknikal.

"Latihan seperti ini akan memudahkan golongan belia di Kahang mendapatkan persijilan dan pekerjaan yang menjanjikan kadar gaji yang lebih baik. Latihan kemahiran seperti wiring dan bengkel kereta juga disediakan,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kahang di sini pada Jumaat.

Bekas Exco kerajaan negeri itu juga berkata, pertanian yang diusahakan secara tradisional berpuluh tahun di kawasan itu juga boleh dimajukan dengan permerkasaan teknologi moden termasuk IR 4.0 yang kini diberikan fokus olehnya.

Selain itu, beliau memberitahu pelbagai isu di kawasan berkenaan juga telah diselesaikan sepanjang beliau menjadi wakil rakyat Kahang termasuk berkaitan tebatan banjir, perparitan, saliran dan memastikan semua kemudahan infrastruktur seperti sekolah dan perhentian bas berada dalam keadaan baik.

Calon berusia 49 tahun itu juga berkata, kehendak dan keperluan masyarakat adalah berbeza berdasarkan geografi sesuatu kawasan.

"Kahang merupakan kawasan luar bandar. Di sini terdapat tanah rancangan FELDA, perkampungan tradisi, perkampungan Orang Asli, kampung baharu dan kampung orang India. Mungkin di kawasan bandar, bangunan pencakar langit dilihat sebagai konteks pembangunan tetapi ia tidak berlaku di sini,” katanya.

Sementara itu, Vidyananthan yang juga Pengerusi MIC Johor yakin dapat mengekalkan kerusi DUN tradisi MIC selama tiga penggal berturut-turut itu kerana beliau, MIC mahupun BN sentiasa konsisten dengan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya penduduk Kahang dan BN berpuas hati dengan prestasi beliau kerana masih diberikan peluang dan dicalonkan bagi menjadi wakil suara rakyat di Kahang.

Dalam perebutan kerusi Kahang, Vidyananthan dicabar oleh dengan Daud Yusof (Perikatan Nasional), Rohani Banu Abd Rahman Krishnan (Pakatan Harapan) dan Rosdi Amir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14), Vidyananthan menewaskan calon PKR, Norlihan Ariffin dengan majoriti 2,861 undi.

Hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditetapkan pada 12 Mac ini. - Bernama


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my