'Mereka seolah-olah fokus kepada Pas, Bersatu' - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

GEORGETOWN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan serbuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di rumah Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai tindakan bermotifkan politik.

Muhyiddin berkata, tindakan seperti itu perlu dihentikan kerana negara mengamalkan demokrasi dan semua pihak berhak melakukan apa sahaja asalkan bukan perkara yang salah.

"I think so (saya fikir begitu), tiada alasan lain. Ia juga dilihat mereka seolah-olah fokus kepada Pas, Bersatu dan lain-lain. Seperti kes saya, itu semua bermotifkan politik. Saya berharap mereka berhenti buat perkara seperti ini.

"Beri peluang, ini adalah demokrasi, setiap orang ada hak untuk melakukan apa sahaja, melainkan mereka melakukan sesuatu yang salah, itu perkara yang lain.

"Terpulang kepada polis untutk melakukan siasatan dan bukannya mengambil tindakan semata-semata untuk kepentingan politik mereka," katanya ketika ditemui selepas Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang di Ibupejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan kediaman Hamzah yang juga Ketua Pembangkang diserbu pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada Jumaat pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak dimaklumkan mengenai serbuan oleh LHDN di kediaman Hamzah.

Kata Anwar, serbuan dan penggeledahan oleh pegawai LHDN di rumah Hamzah merupakan urusan agensi berkenaan selaku badan penyiasat.