850 lesen sementara bantu peniaga kecil terjejas Covid-19: MBPJ

Mohamad Azhan ketika sidang media selepas Jom Shopping Kembali ke Sekolah di Hypermarket Mydin USJ, di sini pada Khamis.
Mohamad Azhan ketika sidang media selepas Jom Shopping Kembali ke Sekolah di Hypermarket Mydin USJ, di sini pada Khamis.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan 850 lesen sementara kepada peniaga-peniaga kecil yang terjejas ketika musim pandemik Covid-19.

Datuk Bandar, Mohamad Azhan Md Amir berkata, usaha tersebut selari dengan kerajaan Selangor yang mana semua pihak berkuasa tempatan (PBT) turut terlibat dalam inisiatif Selangor Bangkit.

Menurutnya, peniaga-peniaga kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19 namun tidak mempunyai lesen perniagaan juga digalakkan untuk memohon lesen sementara bagi memastikan industri di kawasan seliaanya dapat membangun.

"Memang kita galakkan (peniaga mohon lesen sementara) kerana kita bertanggungjawab untuk bantu ekonomi, dalam masa sama memastikan ia teratur. Jadi mereka yang masih tidak mempunyai lesen perniagaan boleh memohon dan kami akan cuba membantu.

"Selain itu, kita juga memberikan peluang perniagaan kepada penduduk khususnya peniaga-peniaga dengan tapak-tapak perniagaan untuk mereka berniaga," katanya ketika sidang media selepas Jom Shopping Kembali ke Sekolah di Hypermarket Mydin USJ, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar pada Rabu yang meminta PBT tidak memberikan kompaun kepada peniaga yang baru bangkit selepas terjejas dengan pandemik Covid-19.

Ujarnya, pihak MBPJ tidak akan terus memberikan kompaun kepada para peniaga yang didapati melanggar peraturan, sebaliknya nasihat dan peluang akan diberi terlebih dahulu.

"Tapi hingga satu tahap yang mana jika mereka tidak dapat ikuti nasihat kita, barulah kompaun diberikan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kami masih menerima rayuan untuk diskaun kompaun dan sebagainya. Kita terima rayuan mereka kerana dalam sektor perniagaan ini, kami sebagai PBT banyak usahakan untuk bantu peniaga-peniaga ini.

"Kita nak galakkan mereka berniaga, dalam masa sama, faktor lain seperti kebersihan dan keselamatan juga perlu dijaga," katanya.