Skim penyaluran air mentah sungai Perak perlu dilaksanakan: Kon Yeow

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Skim penyaluran air mentah Sungai Perak (SPRWTS) perlu dilaksanakan bagi memenuhi kehendak serta permintaan sumber air bagi negeri Perak dan Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan cuba meyakinkan kerajaan Perak berhubung keberkesanan projek itu selain ia amat diperlukan bukan sahaja oleh Pulau Pinang tetapi juga Perak khususnya di bahagian utara negeri berkenaan.

Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang sebelum ini telah berbincang dengan Perak berhubung perkara berkenaan dan hasil perbincangan itu pihaknya memutuskan isu berkaitan akan dirujuk kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) supaya kementerian terbabit boleh melaksanakan tanggungjawab mengenai pembekalan air mentah kepada negeri-negeri yang mengalami kekurangan sumber air.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi mengulangi permintaan kepada kerajaan Perak untuk meneroka potensi sungai Perak sebagai bekalan sumber air mentah jangka panjang.

"Namun, pihak Menteri Besar dan agensi-agensi berkaitan kerajaan Perak telah memberi maklum balas bahawa negeri Perak, khususnya di bahagian utara juga menghadapi masalah kekurangan bekalan air mentah khasnya untuk kegunaan kepelbagaian sektor seperti industri, komersial, pertanian dan kediaman penduduk.

"Menteri Besar Perak dalam pada itu juga membuat kesimpulan bahawa permintaan daripada kerajaan Pulau Pinang adalah bergantung kepada kecukupan bekalan air dari sungai Perak sebelum sebarang pertimbangan boleh dibuat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, kerajaan Pulau Pinang mengambil maklum hujah yang diberikan oleh kerajaan Perak.

Bagaimanapun, katanya hujahan tersebut membuktikan bahawa projek SPRWTS juga amat diperlukan kedua-dua negeri.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan Perak masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan kerajaan Pulau Pinang bagi membekalkan air mentah ke negeri itu disebabkan keperluan domestik yang masih tidak mencukupi.

Saarani berkata, beberapa kajian telah dibuat terhadap keperluan air di Perak yang menunjukkan bahawa sumber sedia ada masih belum cukup menampung permintaan sama ada rakyat mahupun industri.

Jelasnya, pentadbiran kerajaan negeri terdahulu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga sudah memberikan maklum balas kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air bahawa Perak sedia membantu Pulau Pinang untuk menjual air sekiranya keperluan domestik mencukupi.