Kes Tan akan dibicarakan ke Mahkamah Tinggi

A
A

KUALA LUMPUR - Kes seorang ahli perniagaan yang didakwa memberi rasuah RM1 juta kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kelulusan menaikkan ratio pembangunan di Jalan Semarak di sini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali untuk memindahkan kes rasuah Datuk Tan Eng Boon, 70, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, hakim menolak permohonan peguam Faisal Moideen yang mewakili Tan untuk menggantung keputusan itu sementara menunggu arahan anak guamnya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, atas alasan pihak pembelaan mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian memandangkan kes tersebut belum lagi didaftarkan di Mahkamah Tinggi.

Hakim itu juga berkata selepas kes rasuah berkenaan didaftarkan di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan boleh memohon untuk kes tersebut dibicarakan bersama dengan kes rasuah yang dihadapi oleh Tengku Adnan.

Ini berikutan Lailawati memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat permohonan supaya kes Tan dibicarakan bersama dengan kes Tengku Adnan, bagaimanapun Faisal mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.

Pada 15 November 2018, Tan yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan, 69, iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tan dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Tan sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, yang kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama