MSC selangkah untuk sertai keluarga ASTAF

Abdul Halim Kader
Abdul Halim Kader
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KONFEDERASI Sepak Takraw Malaysia (MSC) kini selangkah untuk bergelar ‘keluarga’ Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Perkembangan itu diumumkan, Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader yang mengesahkan pihaknya telah menerima salinan surat sokongan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan tersebut.

Menurut Halim, pengesahan tersebut dibuat oleh ASTAF selepas mengadakan mesyuarat secara dalam talian, Zoom dengan Jawatankuasa Eksekutif ASTAF pada 2 Mac lalu.

“ASTAF dimaklumkan Malaysia Sepaktakraw Confederation (MSC) bahawa Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Encik Ibrahim Mohd. Yusof selain menyatakan sokongan kepada MSC dalam surat bertarikh 28 Februari 2022, beliau tidak mempunyai halangan berhubung permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan ASTAF.

Malah beliau juga tidak membantah permohonan MSC untuk bertindak sebagai badan induk pentadbir sepak takraw di Malaysia demi kemajuan dan perkembangan sukan itu.

Justeru saya menganggap sokongan PPS itu semakin menguatkan peluang MSC untuk diterima menganggotai Astaf secara rasmi, tidak lama lagi.

“Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebelah kaki MSC kini seolah-olah sudah di ambang rumah Astaf,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Halim bagaimanapun enggan mengulas mengenai status sebuah lagi badan induk pentadbir sepak takraw di Malaysia, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang cuba memohon menyertai semula Astaf pada minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, PSM sebelum ini digugurkan keahlian daripada ASTAF dalam satu sesi pendengaran secara maya yang dihadiri panel antaranya dari India, Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand pada 20 Mei lalu.

Keputusan juga menyaksikan badan induk sepak takraw negara itu turut dikenakan denda AS$15,000 sekiranya berhasrat membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan tersebut.

PSM dikenakan tindakan tersebut berikutan tindakan Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail yang juga Timbalan Presiden ASTAF pada ketika itu menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.