Fama Pahang catat jualan pasar tani RM7.6 juta

Pasar tani di Pahang mencatat jualan sebanyak RM7.6 juta hasil aktiviti perniagaan di 18 pasar tani tahun lalu.
Pasar tani di Pahang mencatat jualan sebanyak RM7.6 juta hasil aktiviti perniagaan di 18 pasar tani tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang mencatatkan hasil jualan sebanyak RM7.6 juta pada tahun lalu.

Pengarahnya, Saiful Sadri berkata, kutipan itu diperoleh hasil daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan di 18 pasar tani di seluruh negeri ini.

Menurutnya, terdapat lima pasar tani kekal dan selebihnya pasar tani mingguan yang membabitkan lebih 1,000 usahawan tempatan.

"Pasar tani kekal terletak di Jerantut, Bera, Jengka, Pekan dan Felda Chini yang menyediakan bangunan termasuk pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan peniaga dan pengguna.

"Untuk tahun ini, kita jangkakan hasil jualan pasar tani akan bertambah apabila semua pasar tani seluruh negeri kini dibuka sepenuhnya," katanya ketika ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, program pemasaran rentas negeri (PRN) dilaksanakan bagi membantu usahawan agromakanan untuk bangkit semula mengharungi pasca Covid-19.

Jelasnya, menerusi PRN usahawan dapat mempromosikan produk keluaran mereka keluar Pahang yang mungkin mendapat permintaan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

"Kita telah membuka peluang berniaga kepada usahawan luar Pahang untuk datang berniaga di pasar tani di negeri ini sebagai usaha membantu golongan peniaga tempatan dan luar.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa usahawan dari Pulau Pinang dan Melaka sebelum ini telah menyertai PRN di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, di sini," katanya.