Calon SPM di pantai timur diuji musibah banjir

Che Wan Muhammad Asyraf Che Wan Baharuddin, 18, memeriksa nota ulang kaji Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang rosak akibat banjir, Ahad lepas ketika ditemui di Kampung Kuala Jengai, Dungun pada Rabu. - Foto Bernama
Che Wan Muhammad Asyraf Che Wan Baharuddin, 18, memeriksa nota ulang kaji Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang rosak akibat banjir, Ahad lepas ketika ditemui di Kampung Kuala Jengai, Dungun pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tahun ini sekali lagi mencatat sejarah apabila calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri pantai timur diuji dengan bencana banjir akibat cuaca tidak menentu bermula 27 Februari lalu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan dua hari pertama peperiksaan SPM 2021 bermula 2 Mac bagi 708 calon di Kelantan berikutan banjir.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia susulan tiada pusat peperiksaan alternatif yang sesuai selepas tujuh sekolah calon SPM berkenaan dinaiki air.

Justeru mereka dijadualkan menduduki kertas peperiksaan terbabit pada sidang kedua April depan.

Beliau berkata, penangguhan itu membabitkan kertas yang sepatutnya diduduki calon esok dan Khamis ini meliputi subjek Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.

Di Kuala Terengganu seramai 319 calon SPM dari empat sekolah di Terengganu dijadualkan menduduki peperiksaan di sekolah lain susulan banjir.

Mohd Radzi menjelaskan, sidang kedua untuk SPM bukan suatu perkara baharu kerana peperiksaan itu juga mempunyai sidang kedua pada tahun lalu berikutan terdapat calon positif Covid-19.

Terbaharu, 172 calon SPM yang ditempatkan di dua buah sekolah di Kuala Terengganu menerima sumbangan RM8,000.

Artikel Berkaitan:

Kesemua pelajar tersebut dari dua buah sekolah yang terjejas banjir di Hulu Terengganu sejak Sabtu lalu.

Seramai 233 calon SPM di Hulu Terengganu dikenal pasti terjejas banjir dan ditempatkan di tiga buah sekolah baharu.

Apapun yang berlaku sudah tentunya ibu bapa atau pelajar itu sendiri mengharapkan peperiksaan sekolah terbesar di negara ini dapat berjalan lancar.

Tindakan segera daripada kerajaan untuk memastikan tiada calon yang tercicir daripada mengambil peperiksaan ini sedikit sebanyak memberi harapan kepada mereka untuk meneruskan cita-cita di masa hadapan.