Sila log masuk terlebih dahulu.

Liga-M 2022 terbang bersama Malaysia Airlines

Izham (empat dari kanan), Ab Ghani (tiga kanan) bersama Stuart (dua kanan) dan Yin May (lima dari kanan) menunjukkan dokumen MoU pada Rabu. - Foto Malaysian Football League
Izham (empat dari kanan), Ab Ghani (tiga kanan) bersama Stuart (dua kanan) dan Yin May (lima dari kanan) menunjukkan dokumen MoU pada Rabu. - Foto Malaysian Football League
A
A
A

SYARIKAT penerbangan Malaysia Airlines terus mengorak langkah kerjasama dalam industri bola sepak tempatan apabila menjadi rakan penerbangan rasmi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Malaysia Aviation Group (MAG) dan badan pentadbir liga bola sepak tempatan itu menyaksikan Malaysia Airlines menyediakan perjalanan selamat dan lancar untuk MFL selain menyokong aktivitinya termasuk persidangan tempatan dan antarabangsa, klinik bola sepak dan pertandingan profesional di bawah pengelolaannya.

Selain itu, kenyataan itu memaklumkan lanjutan daripada komitmennya sebagai rakan penerbangan rasmi untuk MFL, MAG pula akan memanfaatkan rangkaian organisasi mereka menerusi pelaksanaan kempen, penjenamaan serta acara bersama dengan Firefly, MASwings, MHholidays dan Enrich.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Lau Yin May.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Izham Ismail turut hadir menyaksikan pemeteraian perjanjian itu.

Stuart berkata, perkongsian MFL dengan MAB melambangkan kedua-dua jenama bersatu untuk meningkatkan taraf dunia bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi, selaras dengan agenda negara.

"Kami berbesar hati mengalu-alukan syarikat penerbangan kebangsaan kami ke Liga-M. Dengan musim baharu dan perlawanan dijadual sepanjang tahun ini, ahli persaudaraan bola sepak Malaysia dan peminat yang ingin mengembara ke seluruh negara boleh mengambil kesempatan daripada peningkatan frekuensi Malaysia Airlines terutama dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Izham pula yakin hubungan simbiotik antara Malaysia Airlines dan MFL akan memanfaatkan peminat bola sepak di seluruh negara iaitu dengan menyatukan peminat bersama pasukan kegemaran mereka terutama penyokong dari Sabah dan Sarawak, yang kini boleh menikmati lebih banyak perlawanan di semenanjung dan sebaliknya melalui peningkatan kekerapan penerbangan.

Artikel Berkaitan:

Pemeteraian MoU tersebut susulan perkongsian terbaharu MAB dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini, sekali gus menunjukkan dedikasi tidak berbelah bahagi syarikat penerbangan itu dalam usaha menyokong pembangunan bakat bola sepak tanah air.