Konflik Ukraine: Hormati prinsip asas kedaulatan, integriti wilayah

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menyeru semua pihak yang berkenaan supaya menghormati prinsip asas kedaulatan dan integriti wilayah berikutan situasi yang semakin meruncing di Ukraine, yang menurut beliau berkemungkinan berkembang menjadi satu lagi kemelut kemanusiaan dan hak asasi manusia.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia juga menggesa semua pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan dan mencegah kehilangan lebih banyak nyawa dan kemusnahan.

"Kami menyeru semua pihak untuk menghormati prinsip asas kedaulatan dan integriti wilayah serta undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.

"Malaysia pernah mengalami sendiri kekejaman konflik di Ukraine dengan pesawat MH17 ditembak jatuh pada 2014, mengakibatkan kehilangan tragis nyawa yang tidak berdosa.

"Kami tidak mahu melihat lebih ramai mangsa terperangkap dalam konflik itu terutamanya orang awam dan kumpulan yang mudah jadi mangsa,” katanya menerusi satu siaran video di akaun Twitternya.

Pada 17 Julai 2014, pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh ketika terbang melintasi bahagian timur Ukraine. Kesemua 298 penumpangnya terbunuh.

Saifuddin juga berkata, segala usaha mesti dibuat dan dipercepatkan untuk mencari penyelesaian secara aman dan damai bagi konflik Ukraine berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada 24 Februari, Rusia melancarkan operasi ketenteraan khas di Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 136 orang awam di Ukraine terbunuh, termasuk 13 kanak-kanak, dan 400 yang lain cedera.

Kira-kira 660,000 orang melarikan diri dari Ukraine ke negara jiran, kata badan antarabangsa itu pada Selasa.

Selain itu, Saifuddin berkata, Malaysia juga akan terus mengetengahkan cabaran kemanusiaan dan hak asasi manusia yang sekian lama wujud terutamanya nasib rakyat Palestin dan pelarian Rohingya.

Beliau berkata, sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan ke arah pelaksanaan konsensus Lima Perkara ASEAN sehingga berjaya mencari penyelesaian yang baik dan mampan untuk Myanmar kembali ke landasan demokrasi. - Bernama