Sukar jadi parti dominan tanpa koalisi di Malaysia

Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid
Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka menjadi pengajaran penting untuk parti-parti kembali kepada realiti bahawa sukar untuk menjadi parti dominan, melainkan mereka membentuk koalisi atau kerjasama dengan parti lain.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid menjangkakan, lebih banyak perbincangan dalam kalangan parti akan dibuat untuk membentuk koalisi.

Bagaimanapun katanya, akan berlaku cabaran untuk membentuk koalisi kerana ideologi tidak banyak memainkan peranan yang penting memandangkan dalam konteks Malaysia, ia lebih kepada pragmatik dan kepimpinan.

“Kita melihat kerjasama politik ini sebenarnya lebih kepada hubungan peribadi antara presiden-presiden dan timbalan presiden atau seumpamanya, melihatkan kepada budaya politik di Malaysia. Begitu juga dengan penolakan, tidak banyak tentang politik tetapi lebih kepada bentuk peribadi.

“Ideologi bukan isu utama tetapi lebih kepada apakah yang memberi keuntungan atau kerugian yang diterima oleh sesebuah parti. Saya rasa, itu yang harus ditekankan oleh parti politik,” katanya sewaktu menjadi jemputan dalam Program Minda Profesor Negara (MPN), yang bertajuk ‘PRN Johor: Apakah makna kepada masa depan pengundi?’ yang diadakan secara dalam talian.

Program itu dikendalikan Felo MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Jelasnya, kemunculan banyak parti politik baharu masa kini lebih kepada memenuhi permintaan daripada masyarakat yang mahukan kepelbagaian.

Bagaimanapun katanya, tidak adil untuk menjangkakan apa yang boleh parti-parti kecil itu lakukan dan terus menyesuaikan diri dengan tradisi politik di Malaysia, umpamanya BN yang hampir 70 tahun dengan tradisi koalisi sejak tahun 1951, yang menjadi kekuatan UMNO dan BN selama ini.

Artikel Berkaitan:

“Amat sukar bagi parti-parti baharu ini menyesuaikan diri dengan struktur dalam politik tradisi koalisi ini. Kita dapat lihat kegagalan Pakatan Harapan (PH) walaupun mereka memenangi PRU14 pada 2018 tapi mereka gagal menubuhkan koalisi yang mantap dari segi strukturnya.

“Contohnya, kita dengar Majlis Presiden Pakatan Harapan tapi kita tidak lihat satu koalisi yang jelas di peringkat negeri mahupun di peringkat bahagian.

“Saya rasa, realiti politik di Malaysia akan membawa mereka balik kembali kepada realiti dan mereka lebih berpijak di bumi yang nyata, di mana amat sukar untuk tradisi dan budaya politik di Malaysia untuk sebuah parti itu menjadi dominan, selain mereka membentuk koalisi dengan parti yang lain,” ujar beliau.