KWSP isytihar dividen konvensional 6.1 peratus, syariah 5.65 peratus

KWSP merekodkan peningkatan 6.0 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion pada 2021.
KWSP merekodkan peningkatan 6.0 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion pada 2021.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 6.10 peratus untuk simpanan konvensional bagi 2021 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM50.45 bilion, mengatasi dividen 5.45 peratus yang diisytiharkan semasa sebelum pandemik pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga mengumumkan kadar dividen 5.65 peratus bagi simpanan syariah, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM6.27 bilion mengatasi 5.0 peratus yang direkodkan pada 2019.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran bagi 2021 adalah sebanyak RM56.72 bilion.

Beliau berkata, dividen tinggi pada 2021 itu adalah sebahagian daripada portfolio kukuh dan yang dipelbagaikan oleh dana pencen tersebut di peringkat global.

"Pengeluaran berkaitan pandemik sebanyak RM101 bilion sejak tahun 2020 telah menyebabkan 48 peratus ahli KWSP mempunyai amaun kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

"Kami berharap dividen ini dan prestasi kukuh berterusan kami akan membantu kami memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahli-ahli kami, seiring dengan pemulihan ekonomi,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2021 KWSP, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kebimbangan utama terhadap pengeluaran itu adalah impaknya kepada kecukupan persaraan ahli.

Bagaimanapun, katanya, meskipun cabaran menguruskan kecairan dalam menghadapi aliran keluar simpanan ini, KWSP mempunyai keupayaan untuk bertindak balas pantas dengan impak yang minimum kepada pasaran kewangan.

Artikel Berkaitan:

Bagi 2021, Amir Hamzah berkata, KWSP telah mengimbangi semula dan menguruskan portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh asasnya pada harga menarik serta memanfaatkan pelaburannya di luar negara yang menyumbang 56 peratus kepada keseluruhan pulangannya.

Setakat 31 Disember 2021, beliau berkata, KWSP merekodkan peningkatan 6.0 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020, dipacu daripada pemulihan pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset di tengah-tengah lantunan semula ekonomi global.

"Bagi 2021, KWSP merekodkan caruman bersih yang negatif buat pertama kalinya (caruman selepas pengeluaran) dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, tetapi masih kekal berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya di samping menyesuaikan diri dengan cabaran untuk memastikan pulangan mampan bagi tempoh jangka panjang.

"KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, dengan RM6.91 bilion diperuntukkan kepada simpanan syariah,” katanya.

Amir Hamzah berkata, prestasi itu disumbang daripada usaha pendekatan kepelbagaian KWSP mengikut panduan daripada Peruntukan Aset Strategik (SAA), yang menjadikan dana pencen itu mampu bertahan daripada kejutan kewangan dan terus stabil dalam situasi yang belum pernah berlaku.

"Mengikut kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap membentuk 45 peratus daripada pelaburan, manakala Ekuiti terdiri daripada 44 peratus. Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing membentuk 6.0 dan 5.0 peratus daripada aset KWSP,” katanya.

Pengkreditan dividen bagi simpanan konvensional dan juga simpanan syariah dijangka selesai pada 6 Mac 2022 dan ahli-ahli boleh memeriksa akaun mereka menerusi i-Akaun atau mendapatkan penyata mereka daripada kios KWSP di seluruh negara. - Bernama