Ukraine gesa peluang sama rata untuk pemindahan rakyat Afrika

Kuleba
Kuleba
A
A
A

ANKARA - Ukraine awal Rabu menggesa peluang sama rata diberikan untuk warga Afrika yang ingin keluar dari negara itu.

Kenyataan itu dibuat selepas video di media sosial menunjukkan warga Afrika dinafikan akses kepada pengangkutan kereta api yang digunakan untuk pemindahan dari Ukraine di tengah-tengah perangnya dengan Rusia, yang mencetuskan kemarahan, lapor Agensi Anadolu.

"Tindakan Rusia ke atas Ukraine menjejaskan rakyat negara itu dan warganegara lain dalam pelbagai keadaan. Rakyat Afrika yang berusaha berpindah adalah rakan kita dan perlu mempunyai peluang yang sama untuk pulang ke negara asal mereka dengan selamat,” ciap Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba di Twitter, sebagai reaksi terhadap isu itu.

"Kerajaan Ukraine akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini," tambahnya.

Pada Isnin, Kesatuan Afrika menyatakan kebimbangan mengenai laporan bahawa warga Afrika di Ukraine dihalang daripada menyeberangi sempadan untuk menyelamatkan diri daripada kawasan perang.

Presiden Senegal Macky Sall dan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika Moussa Faki Mahamat dalam satu kenyataan bersama berkata mereka dukacita dengan laporan itu.

Nigeria menyifatkan reaksi polis Ukraine di sempadan terhadap rakyatnya yang mahu meninggalkan negara itu sebagai amat mengecewakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: