Tarikh akhir 31 Mac untuk dapatkan dos penggalak muktamad: Khairy

Khairy Jamaludin
Khairy Jamaludin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Sinovac yang telah ditetapkan sehingga 31 Mac ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya golongan itu masih enggan mendapatkan dos penggalak selepas tarikh yang ditetapkan, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.

"Tempoh yang kita beri tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tetapi untuk beri masa kepada mereka melengkapkan (dos penggalak) dalam tempoh lanjutan (yang ditetapkan) dan ini terakhir dan muktamad.

"Jika (pada tarikh) akhir ini mereka tidak dapatkan dos penggalak, maka status adalah tidak lengkap," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

KKM sebelum ini telah menetapkan tempoh akhir bagi penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak adalah sehingga 28 Februari lalu namun dilanjutkan ke 31 Mac ini.

Mengulas lanjut Khairy berkata, inisiatif KKM yang memberi pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan vaksin pilihan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat untuk mendapatkan dos penggalak.

"Kita buat keputusan untuk memastikan pertama, sudah memperluas pemberian 'booster' kepada semua melalui 'walk-in' di PPV. Kedua, memberi pilihan 'booster' kepada mereka yang belum mendapatkan dosnya kerana ada keengganan dalam kalangan penerima vaksin untuk menerima dos campuran daripada dos primer.

Artikel Berkaitan:

"Di beberapa PPV, kita beri pilihan dan ini (beri pilihan vaksin) membantu menaikkan liputan vaksinasi yang sebelum ini mereka tidak mahu," katanya.

Sementara itu bagi menjawab soalan asal Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu), Khairy menjelaskan, KKM telah mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF 2.0) bermula 7 Februari lalu bagi menghadapi cabaran gelombang Omicron.

"Ini bagi memastikan akses ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital terjamin serta melakukan pemantauan kes positif melalui Pusat Penilaian Covid-19 secara maya (VCAC).

"KKM juga membangunkan Covid-19 Clinical Care Pathway bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit Covid-19 berisiko tinggi pada peringkat lebih awal semasa mereka bergejala ringan bagi mengelak jangkitan jadi lebih teruk," katanya.

Berbanding varian Delta, Khairy berkata, Omicron lebih mudah menjangkiti dan membiak pada bahagian atas saluran pernafasan sekali gus menjadikan sifat ini nilai tambah kepada keupayaannya menjangkiti secara mudah.

"Di samping itu, varian Omicron kurang menjangkiti tisu paru-paru dan ini mungkin menjelaskan mengapa individ dijangkiti oleh varian itu mempunyai jangkitan lebih ringan berbanding varian Delta," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, walaupun kemasukan ke hospital ketika gelombang Omicron menunjukkan trend peningkatan namun kadar discaj dari hospital turut meningkat memandangkan kadar sembuh yang tinggi selain tempoh rawatan di hospital yang tidak berpanjangan.