X

Kindly register in order to view this article
!

Dua mangsa pertama serangan masjid Christchurch dikebumikan

Jenazah Khalid Mustafa dan anak lelakinya Hamza Mustafa yang terbunuh susulan serangan masjid Christchurch Jumaat lalu, diusung di Tanah Perkuburan Memorial Park Linwood. - Foto AFP
A
A

CHRISTCHURCH - NEW ZEALAND. Seorang pelarian Syria dan anak lelakinya merupakan dua mangsa pertama serangan masjid Christchurch yang dikebumikan hari ini.

Ratusan ahli komuniti Muslim dan ahli keluarga serta kenalan mangsa membanjiri Tanah Perkuburan Memorial Park Linwood bagi mengiringi perjalanan terakhir jenazah Khaled Mustafa dan anak lelakinya berusia 15 tahun bernama Hamza.

Keluarga Khaled sebelum ini melarikan diri daripada cengkaman perang saudara di Syria dan tinggal di sebuah kem pelarian di Jordan sebelum tiba di New Zealand tahun lalu.

Dalam serangan tempoh hari, Khaled dan Hamza yang sedang menunaikan solat Jumaat, terbunuh apabila pengganas warga Australia Brenton Tarrant melepaskan tembakan rambang di dalam Masjid Al Noor.

Adik lelaki Hamza bernama Zaid berusia 13 tahun turut tercedera dalam serangan terbabit, namun tetap hadir ke pengebumian bapa dan abangnya dengan berkerusi roda.

Anak lelaki kedua Khaled, Zaid yang tercedera susulan serangan masjid Christchurch Jumaat lalu turut hadir ke pengebumian bapa dan abangnya. - Foto AFP
Anak lelaki kedua Khaled, Zaid yang tercedera susulan serangan masjid Christchurch Jumaat lalu turut hadir ke pengebumian bapa dan abangnya. - Foto AFP

Antara lain yang hadir ke pengebumian hari ini termasuklah Abdul Aziz, seorang pelarian Afghanistan yang dengan berani berhadapan dengan pengganas terbabit di Masjid Linwood.

Dalam pada itu, seorang lagi jemaah Masjid Linwood, Alabi Lateef, yang turut berdepan dengan pengganas berkenaan berkata, dia dan beberapa individu lain berpeluang memandikan jenazah semalam.

Pihak berkuasa berkata, hanya enam mangsa daripada 50 mangsa serangan telah diserahkan kepada ahli keluarga mangsa, namun berjanji untuk mempercepat proses pengecaman mayat.

"Adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan sekiranya mayat mangsa dipulangkan kepada keluarga yang salah," kata Komisioner Polis Mike Bush sambil menambah setakat ini 21 mangsa telah dikenal pasti secara rasmi oleh pihak koroner.

Sementara itu, Perdana Menteri Jacinda Ardern yang melawat Sekolah Tinggi Cashmere hari ini, di mana Hamza dan Zaid bersekolah, menyatakan perasaan sedihnya atas tragedi yang berlaku.

Seorang lagi pelajar sekolah terbabit, Sayyad Milne, 14 tahun turut maut dalam serangan Jumaat lalu.

Terdahulu, Ardern menegaskan pengganas terbabit akan menerima hukuman setimpal selain berikrar tidak akan sesekali menyebut nama pengganas itu sebaliknya hanya mahu mengenang nama mangsa yang terkorban. - AFP