28,866 pelajar duduki SPM di Kedah, 903 calon ambil pada sidang kedua

Calon SPM 2021 sedang menduduki peperiksaan di dewan SMK Tanjung Pauh, pada Rabu.
Calon SPM 2021 sedang menduduki peperiksaan di dewan SMK Tanjung Pauh, pada Rabu.
A
A
A

KUBANG PASU - Seramai 903 daripada jumlah keseluruhan 29,769 calon di Kedah tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 bermula pada Rabu berikutan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad berkata, kesemua calon berkenaan dijadualkan menduduki peperiksaan sidang kedua pada April depan.

Katanya, pelajar- pelajar terbabit dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

"Pelajar yang sedang menduduki peperiksaan pula dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan kendiri Covid-19 setiap pagi sebelum hadir ke sekolah sebagai langkah keselamatan," katanya ketika membuat tinjauan peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh di sini, pada Rabu.

Rozaini
Rozaini

Menurutnya, seramai 25,898 calon terdiri dari sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama diikuti calon sekolah menengah agama rakyat seramai 1,422 orang serta calon persendirian sejumlah 1,002.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 833 calon pula dari sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (Kementerian Pendidikan) iaitu MRSM, MTD dan Sekolah Perantis Tentera, selain 498 calon sekolah menengah agama negeri dan sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM melibatkan 116 calon," katanya.

Dalam pada itu, Rozaini berkata, terdapat dua calon yang menduduki peperiksaan di hospital iaitu di Hospital Kuala Nerang akibat demam campak dan Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani kerana pembedahan apendiks.

Tambah Rozaini, untuk kemudahan peperiksaan SPM, sebanyak 264 pusat peperiksaan dibuka di seluruh Kedah.

"Ia melibatkan bilangan petugas peperiksaan seramai 3,263 orang merangkumi 2,320 pengawas peperiksaan dan 350 pengemas bilik. Selain itu ia melibatkan 264 ketua pengawas dan timbalan ketua pengawas serta 65 penyelia kawasan," katanya.