Vardy, Maddison pacu tiga mata Leicester di Burnley

Vardy antara watak penting menjelmakan tiga mata Leicester City ketika berdepan Burnley di Turf Moor.
Vardy antara watak penting menjelmakan tiga mata Leicester City ketika berdepan Burnley di Turf Moor.
A
A
A

JARINGAN pemain gantian James Maddison dan Jamie Vardy membolehkan Leicester City kembali semula ke rentak kemenangan apabila menewaskan Burnley 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Turf Moor.

The Clarets kendalian Sean Dyche yang mencatat dua kemenangan dan satu seri dalam tiga perlawanan terakhir bermula agresif bagi mencari kemenangan keempat liga bagi mengeluarkan diri dari kelompok bawahan liga.

Namun The Foxes dikemudikan Brendan Rodgers yang mendapat motivasi hasil kemenangan ke atas Randers FC dalam pusingan kalah mati Liga Konferensi, ternyata lebih unggul dihujung perlawanan untuk membawa pulang tiga mata dari laman lawan.

Pengantian berganda Maddison dan Vardy yang dibawa masuk mengantikan Youri Tielemans dan Patson Daka pada minit ke-72', dimanfaatkan duo itu apabila masing-masing mencetak gol di minit ke-82' dan 90'.

Untuk rekod ini merupakan kemenangan pertama Leicester pada 2022 sekali gus melonjakkan kelab itu ke tangga ke-12 dengan 30 mata manakala Burnley kekal di tempat ke-18 dengan 21 mata.

Sementara itu, Vardy mengakui gembira apabila kembali menemui semula sentuhan jaringan ketika melakukan penampilan semula selepas berehat panjang sekali gus mengakhiri kemarau gol.

"Sejujurnya saya mengambil tempoh masa yang lama untuk kembali selepas mengalami kecederaan sebelum ini. Untuk mendapat peluang beraksi seterusnya menjaringkan gol itu merupakan satu pengalaman terindah.

"Saya cuba memberikan impak yang berkesan dalam misi meraih tiga mata pasukan, dan saya gembira kami menang," kata penyerang itu.

Artikel Berkaitan: