Luton Town kembali semula ke liga elit

Tonggak pertahanan Luton Town, Sonny Bradley memegang trofi ketika pemain meraikan kejayaan memenangi penentuan sepakan penalti perlawanan akhir play-off Liga Kejuaraan menentang Coventry City di Stadium Wembley. - Foto AFP
Tonggak pertahanan Luton Town, Sonny Bradley memegang trofi ketika pemain meraikan kejayaan memenangi penentuan sepakan penalti perlawanan akhir play-off Liga Kejuaraan menentang Coventry City di Stadium Wembley. - Foto AFP
A
A
A

LUTON Town mengesahkan slot ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Coventry City menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 setelah seri 1-1 dalam saingan final play-off Liga Kejuaraan di Stadium Wembley awal pagi Ahad.

Luton adalah kelab pertama yang mara dari divisyen kelima ke liga utama dalam era EPL.

Kelab itu pernah mengalami kegawatan kewangan sejak kali terakhir beraksi di liga utama 31 tahun lalu.

Kejayaan Luton kembali semula ke liga utama England itu bernilai sekitar 170 juta pound (RM965.67 juta), disifatkan satu kenaikan pangkat kepada The Hatters.

Sebahagian aliran tunai Luton akan digunakan bagi menaik taraf stadium Kenilworth Road berkapasiti 10,000 penonton yang berada di kawasan perumahan komuniti bagi menampung pertambahan pengunjung.

Sementara itu, pemain tengah Luton, Pelly Ruddock Mpanzu, 29, yang melalui perjalanan bersama kelab muncul pemain pertama dari Liga Kebangsaan ke EPL.

“Sejujurnya saya merasakan telah melengkapkan perjalanan karier bola sepak yang akan menjadi pesta sepanjang musim panas,” kata Mpanzu.

Bagaimanapun The Hatters berdepan detik cemas pada awal perlawanan apabila kapten, Tom Lockyer rebah di padang.

Pemain pertahanan berusia 28 tahun itu diusung keluar sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Kelab kemudian memaklumkan Lockyer berada dalam keadaan sedar dan boleh berkomunikasi dengan ahli keluarganya.