'Anak muda mahu lebih banyak peluang kerja, kadar gaji naik'

Dari kiri: Muhammad Azhar, Kamarulnizand, Muhammad Norhakim
Dari kiri: Muhammad Azhar, Kamarulnizand, Muhammad Norhakim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Golongan anak muda berharap agar kerajaan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan serta pertimbangkan kenaikan kadar gaji untuk rakyat khususnya di negeri Johor.

Tinjauan Sinar Harian mendapati bahawa ramai anak muda berdepan dengan kesukaran mencari pekerjaan dan masalah kewangan yang melibatkan kadar gaji yang rendah di negeri ini.

Masalah tersebut telah berlaku sebelum pandemik Covid-19 lagi, namun sehingga kini masih belum ada jalan penyelesaian.

Pembantu peniaga, Muhammad Norhakim Norijam, 22, berpandangan bahawa kerajaan perlu memandang serius isu berkenaan kerana ramai anak muda di Johor berdepan dengan kesukaran untuk meneruskan kehidupan mereka.

Ujar Muhammad Norhakim, dalam keadaan ekonomi negara yang merosot serta harga barang semakin meningkat, kadar gaji sedia ada tidak mampu untuk menampung kos hidup pada masa kini.

"Sekarang harga barang sekarang semakin meningkat, jadi gaji yang kita ada sekarang ini, tidak mampu untuk 'survive' (bertahan) sangat.

"Jadi ya, saya mengharapkan agar kerajaan menaikkan gaji sebab kos sara hidup semakin meningkat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pembantu peniaga, Muhammad Azhar Rashid, 28 berkata, tekanan kadar gaji yang rendah menyebabkan ramai golongan muda terpaksa mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan sampingan.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan gaji rendah, maka ada yang mempunyai masalah kewangan, sebab itu ramai yang buat kerja sampingan," ujarnya.

Tambahnya, masalah kewangan juga menyebabkan anak muda sanggup melakukan kegiatan jenayah semata-mata untuk mendapatkan wang.

"Kalau kita tengok, ramai anak muda yang terlibat dengan kes jenayah seperti meragut, mencuri dan pecah rumah sebab mereka kurang wang.

"Kalau kerajaan menangani masalah itu dengan menaikkan gaji rakyat, insya-ALLAH kes jenayah mungkin dapat dikurangkan," jelasnya.

Dalam pada itu, pembantu restoran, Kamarulnizand Mustapha Kamal, 19, berkata, kerajaan perlu meningkatkan usaha dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan anak muda.

"Saya harap kerajaan membantu dan membela nasib kami anak muda dari segi pekerjaan, kewangan dan keperluan bagi menjamin masa depan golongan muda pada masa sekarang," menurutnya.