'Bazar di Ayer Hitam lengang, macam ada 'hantu' lalu'

Suasana lengang di Arena Warna, Ayer Hitam.
Suasana lengang di Arena Warna, Ayer Hitam.
A
A
A

BATU PAHAT - Peniaga-peniaga di Bazar Arena Warna, Ayer Hitam mahukan mana-mana calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk membangkitkan semula kawasan tersebut yang merupakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terbesar di Johor.

Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati bazar itu lengang dan kekurangan pengunjung, ditambah lokasinya yang agak tersorok menyukarkan mereka untuk sampai ke kawasan berkenaan.

Malah ada peniaga yang menyifatkan kawasan itu kadang-kadang hanya 'hantu lalu' disebabkan kekurangan pengunjung.

Nor Zana Zlin Samuddin
Nor Zana Zlin Samuddin

Nor Zana Zlin Samuddin, 41, berkata, Arena Warna itu seperti dilupakan dan tidak diketahui ramai bukan sahaja bagi penduduk Johor malah luar negeri.

Menurutnya, ia kerana hari minggu yang kebiasanya dipenuhi ramai orang kini ibarat seperti hari-hari biasa.

"Kalau sebelum ini, di tepi jalan orang senang nak turun membeli, cuma sekarang Arena Warna ini agak ke dalam jadi susah untuk mereka cari kawasan ini.

"Jika dahulu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, kami dah sediakan barang sebab mesti tahu pelancong akan datang ke sini tetapi sekarang tidak boleh agak.

Artikel Berkaitan:

"Wakil-wakil rakyat kena mainkan peranan promosikan tempat ini semula sebab IKS ini terbesar di Johor.

"Jadi kami mengharapkan mana-mana wakil rakyat yang menang di kawasan ini perlu memastikan bahawa semua orang tahu Arena Warna ini ada di Ayer Hitam," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, Koo Kar Sieong, 64 berkata, infrastruktur dan fasiliti di Arena Warna itu perlu ditingkatkan seperti menyediakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi memudahkan pengguna untuk membeli barang.

Koo Kar Sieong
Koo Kar Sieong

"Kami hanya peniaga IKS dan di sini kebanyakannya hanya menggunakan tunai untuk pembayaran, dan biasalah pembeli yang datang dia tidak bawa duit yang secukupnya atau berharap untuk menggunakan pembayaran tanpa tunai.

"Sehinggakan, ada yang datang kepada kami tanya ATM di mana sebab kami peniaga kecil sahaja.

"Jadi ini susah lah untuk peniaga dan juga pengunjung yang datang, jadi kalau boleh fasiliti ini dipertingkatkan," ujarnya.

Peniaga, Muhammad Zulhairee Zamri, 23, berkata, pendapatannya sebelum ini agak susah dan kurang malah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan hampir tiga kali gerainya terpaksa ditutup sekali gus memberi cabaran besar untuk dirinya.

Muhammad Zulhairee Zamri
Muhammad Zulhairee Zamri

Justeru, dia mengharapkan wakil rakyat dipilih dapat mencari jalan untuk menaikkan semula ekonomi bagi peniaga-peniaga kecil di sini.

"Kalau sebelum ini, PKP ada kurang sedikit, orang nak keluar pun susah, cuma sekarang Alhamdulillah tetapi ini di fasa pemulihan.

"Saya tidak mahu bercakap banyak, mana-mana calon yang terbaik teruskan. Calon yang bertanding ini sekiranya dah menang di kawasan ini buat betul-betul, saling memahami apa rakyat mahu, kita tunaikan," jelasnya.