Lima teras manifesto BN Johor bukan untuk memujuk rakyat

Mohamad (kanan) melihat manifesto BN Johor bersama Hasni pada majlis berkenaan.
Mohamad (kanan) melihat manifesto BN Johor bersama Hasni pada majlis berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tawaran lima teras utama Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan bukan semata-mata untuk memujuk rakyat atau mendapatkan undi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaliknya semua teras yang ingin direalisasikan BN itu adalah perkara yang realistik dan boleh dilaksanakan sekiranya parti kembali menaungi negeri ini.

"Kita telah lancarkan manifesto dengan ikhtiar berdasarkan lima teras utama merangkumi pelbagai aspek khusus bagi semua masyarakat yang berbilang kaum di Johor.

"Ia adalah usaha membangunkan kesejahteraan dan ekonomi bukan semata janji untuk memujuk rakyat tapi akhirnya kita sendiri tidak dapat buat," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Pelancaran Ikhtiar BN Johor di Pejabat UMNO Johor di sini, pada Selasa.

Pada majlis berkenaan, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad telah membentangkan lima teras utama sebagai manifesto BN sekiranya dipilih sebagai kerajaan pasca PRN Johor.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kesemua teras yang telah direncana BN Johor itu juga telah diteliti sebaiknya bagi membolehkan pihak mereka mengembalikan semula kegemilangan Johor yang dilihat telah banyak ketinggalan sejak 2018.

"Selepas 2018 Johor dilihat terkial-kial kerana ketidaktentuan politik dan tiada kestabilan. Saya harap perkara ini akan jelas dan rakyat Johor dapat menilai perkara yang baik untuk manfaat mereka selepas ini," katanya.

Artikel Berkaitan: