LTAPP sedia terima penerbangan VTL Pulau Pinang-Singapura

Soon Hin (kanan) ketika melawat LTAPP bagi meninjau persiapan VTL pada Isnin.
Soon Hin (kanan) ketika melawat LTAPP bagi meninjau persiapan VTL pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas bersedia untuk menerima penerbangan di bawah Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) telah menjalankan perancangan yang diperlukan di LTAPP untuk memastikan kemudahan penerbangan Pulau Pinang-Singapura itu berjalan lancar.

"Perancangan rapi telah dibuat termasuk menetapkan jambatan udara (aero bridge) dan apron lapangan terbang (airport apron) khusus untuk penumpang turun dari pesawat.

"LTAPP juga telah menubuhkan makmal perubatan khas untuk tujuan ujian calitan Covid-19,” katanya selepas melawat LTAPP untuk meninjau peringkat akhir dan perkembangan penyediaan VTL pada Isnin.

Disember tahun lalu, Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) telah mengemukakan permohonan untuk melancarkan VTL antara Pulau Pinang dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail berkata, permohonan untuk perjalanan antara Pulau Pinang dan Singapura telah dikemukakan beberapa bulan sebelum itu.

Menurutnya, permohonan tersebut dibuat susulan kejayaan VTL antara Kuala Lumpur-Singapura yang dilancarkan pada 29 November lalu.

Ketika itu, kerajaan Pulau Pinang telah menggesa kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memasukkan LTAPP dalam VTL antara Malaysia dan Singapura, dan menegaskan bahawa langkah itu akan memberi manfaat kepada landskap pembuatan negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, penumpang yang disahkan negatif semasa tiba di LTAPP akan dibenarkan masuk ke Pulau Pinang manakala mereka yang positif akan dihantar ke kawasan pengasingan khas untuk tindakan lanjut.