SPRM kesan sindiket bitcoin tawar suapan cecah RM300,000

Azam (tengah) bersama Baharin (kanan) dan Abdul Razib (kiri) menunjukkan mesin biotcoin yang disita di Ibu Pejabat SPRM pada Selasa.
Azam (tengah) bersama Baharin (kanan) dan Abdul Razib (kiri) menunjukkan mesin biotcoin yang disita di Ibu Pejabat SPRM pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sindiket melombong bitcoin yang menawarkan suapan antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tindakan penguatkuasaan tidak diambil terhadap mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pengusaha bitcoin akan berunding dengan pegawai TNB semasa operasi dijalankan dan pembayaran rasuah itu dilakukan menerusi bayaran secara tunai atau menggunakan ‘crypto currency’ secara bulanan.

“Aktiviti mencuri bekalan elektrik dikenal pasti menggunakan peralatan khas atau penebat elektrik secara terus selain cara ‘tapping’ daripada bekalan elektrik pengguna lain bagi mengurangkan jumlah penggunaan elektrik bulanan premis terlibat.

“Sindiket ini menggunakan mesin melombong bitcoin dari luar negara yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang dan diisytiharkan sebagai peralatan IT,” katanya ketika sidang akhbar Ops Power di Ibu Pejabat SPRM pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood.

Mengulas lanjut, Azam berkata, kerjasama strategik antara SPRM dan TNB menerusi Ops Power yang bermula sejak 2018 itu berjaya mengesan 7,208 kes dengan jumlah kerugian RM2.3 bilion dicatatkan ekoran kecurian elektrik.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 998 premis terlibat dengan kecurian elektrik dan jumlah wang rasuah berjumlah RM2.4 juta.

Dalam pada itu, Azam turut memaklumkan, seramai 18 daripada 23 lelaki warga tempatan berumur 30 hingga 60 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan manakala lima lagi akan ditahan selepas mereka sembuh dari Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Sejumlah RM281,180 wang tunai telah disita dengan pembekuan akaun bank sebanyak RM4.5 juta melibatkan 97 individu, 29 syarikat dan 126 akaun.

“Selain itu, sebanyak 1,157 mesin bernilai RM2.3 turut disita di samping RM82,000 e-wallet, mata wang crypto bernilai AS$ 25,893.46 dan lima buah kereta,” katanya.

Mengulas perkara sama, Azam berkata, pihaknya akan membuat pemantauan secara berterusan bagi mengekang aktiviti tersebut daripada terus berleluasa demi kepentingan semua pihak.