1MDB: Leissner dedah penglibatan dua bekas setiausaha sulit Najib

Leissner menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu. - Foto: Agensi
Leissner menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW YORK - Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner mendedahkan bahawa dua setiausaha sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam urusan penerbitan bon ketiga di bawah Projek Catalyze yang bernilai AS$3 bilion (RM12.6 bilion) untuk 1MDB.

Perkara itu didedahkan ketika Leissner menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu yang berdepan tuduhan melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.

Dia menjelaskan bon ketiga itu bergantung kepada surat sokongan daripada kerajaan Malaysia dan bukan berdasarkan jaminan daripada International Petroleum Investment Companya (IPIC) seperti dua bon yang pertama yang dirujuk sebagai Projek Magnolia dan Projek Maximus.

Leissner memaklumkan dia mengadakan beberapa pertemuan dengan Azlin Alias ​​dan seorang lagi setiausaha sulit bekas perdana menteri itu, Amhari Efendi Nazaruddin selain Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan untuk tujuan mendapatkan surat sokongan tersebut.

Menurutnya, satu pertemuan turut diadakan bersama Najib di pejabat rasminya di Putrajaya untuk memperoleh surat sokongan yang ditandatangani oleh beliau.

Jelasnya, Low Taek Jho atau Jho Low juga memaklumkan kepadanya dan Roger Ng bahawa mereka tidak akan menerima sebarang 'imbuhan' seperti dua projek pertama atas alasan dana dikumpulkan Projek Catalyze akan digunakan untuk Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

"Jho Low mendakwa dana yang dikumpulkan Projek Catalyze perlu digunakan untuk membiayai pilihan raya tersebut. Dia juga nyatakan memberi 'sumbangan' kepada pengundi sebagai 'amalan biasa' di Malaysia.

"Saya tidak tahu ke mana aliran sebenar wang tersebut atau sama ada ia diterima secara peribadi oleh Najib," ujarnya sambil menambah tentang penglibatan Azlin apabila Goldman Sachs berusaha melupuskan bon AS$700 juta (RM3 bilion) yang tidak dapat dijual firma itu selepas transaksi Projek Catalyze.

Artikel Berkaitan:

Leissner dan Roger Ng turut menghubungi Jho Low untuk melihat sama ada dia boleh membantu menjual beberapa bon tersebut kepada institusi berkaitan kerajaan di Malaysia seperti Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Difahamkan, salah satu bukti yang dikemukakan dalam kes itu ialah bebenang e-mel yang dipanjangkan Leissner kepada Roger Ng pada 6 November 2013 yang turut mengandungi e-mel pertama yang telah dihantar oleh Jho Low kepada Azlin.

Leissner turut mendedahkan bahawa dia dan Roger Ng masing-masing menerima 'imbuhan' berjumlah AS$17.5 juta (RM73.4 juta) untuk penglibatan mereka dalam terbitan bon pertama di bawah Projek Magnolia bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion).

Dia turut berkata mereka telah menerima 'imbuhan' untuk bon kedua di bawah Projek Maximus, juga bernilai AS$1.75 bilion (RM7.34 bilion) walaupun dia tidak menyatakan jumlah sebenar yang diterima oleh mereka.

Ketika terlibat urus niaga 'skim haram' itu, Leissner mengakui dia bimbang dengan persepsi negatif media, namun berada sedikit lega selepas Najib menang pada PRU13. - Agensi