'Ambil berat nasihat dalam pantun Seri Paduka Baginda' - Shamrahayu

Shamrahayu
Shamrahayu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rangkap pantun di akhir titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa merasmikan Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-14, pada Isnin merupakan satu peringatan yang perlu diambil berat oleh semua wakil rakyat.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, pantun itu merupakan pendekatan Seri Paduka Baginda dalam memberikan nasihat kepada wakil rakyat mengikut cara Melayu.

"Saya rasa pantun yang dizahirkan Tuanku bukan sebarang pantun.

Ia merupakan nasihat kepada Yang Berhormat supaya bersatu hati demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan BernamaTV pada Isnin bertajuk 'Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-14'.

Menurut Shamrahayu, semangat bersatu hati dalam kalangan pemimpin merupakan sesuatu yang amat perlu bagi membolehkan negara merencanakan pembangunan ekonomi dan kesihatan awam dalam menghadapi era pasca pandemik Covid-19.

Beliau berkata, secara keseluruhan titah ucapan Seri Paduka Baginda ketika merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Parlimen itu meliputi semua aspek dan ia akan menjadi dasar kepada perbahasan yang bakal berlangsung sepanjang persidangan kali ini.

Al-Sultan Abdullah ketika mengakhiri titah hari ini menyampaikan dua rangkap pantun yang membawa mesej meminta ahli politik di negara ini supaya fokus kepada usaha menjaga kepentingan rakyat.

Menyelitkan ingatan itu dalam dua rangkap pantun Al-Sultan Abdullah bertitah kerja yang susah akan menjadi senang jika semua bersatu hati. - Bernama

Artikel Berkaitan: