Banjir: Bot tambang Mohd Irwani mudahkan penduduk terjejas

Penduduk dari Taman Sri Mas, Hunaizah Che Mat, 61, (tengah) berkata, dia bersyukur dengan adanya perkhidmatan bot tambang yang ditawarkan Mohd Irwani (kanan) memudahkan urusan mereka yang terperangkap akibat musibah banjir di Jalan Lubuk Jong, Pasir Mas ke Rantau Panjang di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
Penduduk dari Taman Sri Mas, Hunaizah Che Mat, 61, (tengah) berkata, dia bersyukur dengan adanya perkhidmatan bot tambang yang ditawarkan Mohd Irwani (kanan) memudahkan urusan mereka yang terperangkap akibat musibah banjir di Jalan Lubuk Jong, Pasir Mas ke Rantau Panjang di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Perkhidmatan bot tambang yang hanya muncul ketika musim banjir seakan menjadi ‘talian hayat’ kepada penduduk di sini yang terkesan dengan bencana itu untuk meneruskan rutin harian.

Pengemudi bot, Mohd Irwani Ibrahim, 46, berkata, dia mula menawarkan perkhidmatan bot tambang itu kepada penduduk di sekitar Taman Sri Mas dan Taman Sri Naim dekat Lubok Jong, di sini, sejak berlaku banjir pada Sabtu lepas.

Menurutnya, perkhidmatan itu dapat memudahkan penduduk melakukan rutin harian seperti membeli barangan keperluan dan sebagainya berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air sehingga mencecah dua meter.

"Menyediakan khidmat bot tambang ini seakan menjadi pekerjaan tahunan saya sejak lima tahun lepas setiap kali tiba musim banjir. Alhamdulillah, kebanyakan penduduk berpuas hati dengan perkhidmatan saya," katanya ketika ditemui Bernama di Taman Sri Mas dekat Lubok Jong di sini, pada Isnin.

Mohd Irwani yang pada hari biasa bekerja sebagai tukang besi dan berpengalaman mengendalikan bot selama 15 tahun, akan memulakan kerja ‘bermusim’ itu seawal 6.30 pagi hingga pukul 11.30 malam dengan mengemudi bot fiber berkapasiti empat penumpang miliknya.

"Setiap kali mengemudi bot, saya perlu sentiasa berhati-hati bagi memastikan keselamatan penumpang selain memilih laluan yang agak jauh terutama ketika arus air deras.

"Tambang yang dikenakan cuma RM5 sehala bagi satu bot dan bagi saya sangat memadai untuk menampung kos penyelenggaraan bot dan minyak," katanya yang turut memberi perkhidmatan percuma kepada golongan kurang berkemampuan.

Bapa kepada empat anak itu bersyukur kerana selain dapat menawarkan perkhidmatan bot kepada orang ramai, pada masa sama dia berpeluang meraih pendapatan yang ada ketikanya mencecah RM150 sehari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk dari Taman Sri Mas, Hunaizah Che Mat, 61, lega dengan adanya perkhidmatan bot tambang yang ditawarkan oleh Mohd Irwani kerana dapat memudahkan urusan hariannya serta membantu penduduk yang terperangkap akibat musibah banjir. - Bernama