Calon PKR Larkin nafi dakwaan rasuah pengundi

Dr Zamil Najwah
Dr Zamil Najwah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Dr Zamil Najwah Arbain menafikan dakwaan Skuad Sabil Johor berhubung tindakan memberi rasuah kepada pengundi dalam bentuk jamuan makan dan minum.

Ujar beliau, jamuan tersebut bukan dianjurkan olehnya sebaliknya daripada persatuan-persatuan Cina bagi bertemu dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Kata Dr Zamil Najwah, kehadirannya hanya sebagai tetamu jemputan dan beliau juga tidak berucap dalam majlis berkenaan.

"Saya mendapat jemputan (majlis itu) daripada mereka. Ia bukan anjuran saya pun.

"Majoritinya adalah daripada persatuan 'bankers' (perbankan), kuil dan persatuan Cina kebanyakannya.

"Bukan semua mereka adalah pengundi di Larkin, banyak yang mengundi di Permas dan Perling, hanya beberapa orang sahaja yang mengundi di Larkin," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Isnin, Skuad Sabil Johor membuat laporan polis berhubung dakwaan cubaan calon PKR DUN Larkin memberi rasuah kepada pengundi melalui jamuan makan.

Mengulas lanjut, Dr Zamil Najwah berpandangan bahawa dakwaan tersebut hanya sekadar andaian sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang saya nampak mereka ini agak-agak sahaja sebab mereka tidak tahu hujung pangkal jemputan itu.

"Dia punya tuduhan itu maknanya saya yang menjemput, sedangkan saya yang dijemput ke majlis itu.

"Jadi, ia dua benda yang berbeza iaitu saya sebagai 'organizer' (penganjur) dan saya sebagai (tetamu) jemputan, itu berbeza," ujarnya.