Moyes puji aksi Soucek

Soucek meraikan jaringannya sekali gus membantu West Ham menumpaskan Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad. - Foto Reuters
Soucek meraikan jaringannya sekali gus membantu West Ham menumpaskan Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad. - Foto Reuters
A
A
A

PENGENDALI West Ham, David Moyes memuji persembahan yang ditampilkan Tomas Soucek apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menumpaskan Wolves 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

Moyes dalam sidang media sebelum ini mahu Soucek dan tonggak serangan bergabung bagi mencipta lebih banyak gol dan ia nyata berkesan selepas kedua-dua pemain itu terlibat dalam menghasilkan gol tunggal pada perlawanan tersebut.

“Saya fikir dia (Soucek) bermain dengan lebih baik pada perlawanan ini. Secara keseluruhannya inilah persembahan yang saya mahu dia tampilkan pada setiap perlawanan.

“Saya berharap dia akan sentiasa kekal beraksi seperti ini dan menjaringkan lebih banyak gol bagi mencerahkan peluang kami untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah,” katanya.

Kemenangan ke atas Wolves itu menyaksikan West Ham kini berada di tangga kelima dan hanya ketinggalan dua mata di belakang Manchester United yang kini berada di tangga keempat.

Dalam pada itu pengurus Wolves, Bruno Lage nyata kecewa dengan aksi pasukannya apabila mereka melepaskan gol mudah dan percaya anak buahnya mampu beraksi lebih baik pada perlawanan tersebut.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, West Ham adalah sebuah pasukan yang hebat dan mempunyai matlamat yang tersendiri apabila mereka turun beraksi.

"Pada 20 minit pertama, kami berjaya mengawal permainan dan bola dengan cukup baik. Bagaimanapun pada separuh masa kedua, kami banyak memberi peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol.

Artikel Berkaitan:

“Ia nyata mengecewakan kerana mereka melepaskan gol mudah yang sepatutnya tidak boleh dilakukan oleh pasukan,” katanya.