Ditemani alunan al-Quran ketika ulang kaji resipi kejayaan dalam SPM

Nik Nur Adreeana berjaya memperoleh keputusan cemerlang 11 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022. - Foto Bernama
Nik Nur Adreeana berjaya memperoleh keputusan cemerlang 11 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Rutin mendengar alunan bacaan al-Quran ketika mengulang kaji pelajaran menjadi resipi seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini, muncul sebagai pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 Kelantan.

Nik Nur Adreena Nik Mohd Kamil, 18, dari Kampung Kelochor berkata, dia percaya amalan itu yang memberikannya ketenangan dapat membantunya untuk kekal fokus dan menajamkan fikiran sehingga berjaya meraih kejayaan cemerlang.

"Alhamdulillah, saya berjaya meraih keputusan 11A+ bagi kesemua mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Fizik, Biologi, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Matematik, Bahasa Arab, Kimia, Pendidikan Syariah Islamiah dan Matematik Tambahan.

"Saya tidak menyangka mampu meraih kejayaan ini kerana saya tidak meletakkan harapan yang sangat tinggi. Malah, muncul sebagai pelajar cemerlang SPM bagi seluruh negeri Kelantan juga dianggap sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Haji Yacob SMKA Naim Lilbanat hari ini.

Bercerita lanjut, Nik Nur Adreena yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor berkata, selain menekankan aspek rohani, dia juga tidak mengabaikan aspek akademik iaitu meluangkan masa masa kira-kira dua jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.

Selain itu, dia turut mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan pihak sekolah untuk memantapkan lagi ilmu yang ada sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan selain kerap bertanyakan kepada guru dan rakan-rakan.

"Kebiasaannya saya akan mengulang kaji pelajaran ketika waktu malam iaitu pada 9 malam hingga 12 tengah malam selain turut melakukan latih tubi membabitkan soalan SPM tahun-tahun lepas yang turut membantu.

"Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi saya mahu kongsikan kegembiraan terutamanya bersama ibu dan ahli keluarga yang banyak memberi sokongan dan bantuan sepanjang persekolahan saya selain guru-guru dan juga rakan-rakan di SMKA Naim Lilbanat,” katanya. - Bernama