Nelayan mahu diiktiraf sebagai aset permata kerajaan

Subari, Muhammad Akmal, Shukor
Subari, Muhammad Akmal, Shukor
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Rata-rata nelayan mahu mereka diiktiraf sebagai aset permata kerajaan dalam membantu operasi menyelamat mangsa banjir menerusi Skuad Menyelamat Nelayan (MyKP).

Bagaimanapun hasil tinjauan Sinar Harian di Kampung Muhibbah Peserai di sini mendapati bahawa skuad tersebut tidak diketengahkan untuk perhatian kerajaan.

Mereka ingin diberikan kepercayaan untuk turut sama membantu melakukan misi-misi menyelamat mangsa banjir sekiranya berlaku di kawasan lain.

Skuad MyKP yang diwujudkan pada 2018 itu kini memiliki 25 keahlian membabitkan mereka yang berumur antara 16 hingga 78 tahun.

Ahli Lembaga Pengarah, Persatuan Nelayan Batu Pahat, Johor, Shukor Jaafar, 56, berkata, fungsi nelayan bukan hanya sekadar mencari pendapatan di laut tetapi mereka juga turut bersedia untuk menyelamat mangsa banjir setiap kali musibah itu berlaku.

“Kebiasaannya apabila banjir berlaku kita selalu mengharapkan anggota bomba, JPAM dan Maritim. Kami tahu mereka merupakan aset kerajaan yang diletakkan dengan tanggungjawab yang berat.

“Namun kita melihat, nelayan juga boleh bersama-sama membantu memandangkan kami berada di bawah Jabatan Perikanan Malaysia, LKM yang turut menjadi tulang belakang kerajaan.

“Sebab itu saya menyatakan hari ini, adakah kerajaan sedar bahawa mereka telah menggilap satu permata yang amat berharga hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shukor berkata, sekiranya nelayan dapat dilibatkan sama dalam operasi menyelamat sekali gus mereka mampu menjadi pemudah cara kepada misi tersebut.

“Bukan saya mahu membanggakan golongan nelayan tetapi pengalaman dan asam garam kami di laut. Ini kerana apabila berlaku bencana alam melibatkan air (banjir) maka ia cukup sinonim dengan kami (nelayan).

“Justeru kami berharap kerajaan dapat mengkaji untuk menjadikan kami (nelayan) sebagai sebahagian daripada tulang belakang penyelamat khususnya di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Subari Rafal, 78, berkata, kerajaan negeri khususnya di Batu Pahat juga boleh menjadikan mereka sebagai anggota Sahabat Bencana Alam dan sentiasa bersiap siaga untuk turun padang dalam operasi menyelamat sekiranya khidmat mereka diperlukan.

“Bila-bila masa kita boleh bersama untuk turun padang bantu mangsa banjir.

“Saya amat menyokong sekiranya skuad ini dapat diperluaskan dan menjadikannya sebagai permulaan kepada nelayan-nelayan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Akmal Harith, 16, berkata, golongan muda juga tidak terkecuali untuk menyertai skuad terbabit dalam memastikan kesinambungan fungsi skuad berkenaan pada masa akan datang.

Tambahnya, ia akan menjadi satu pengalaman baharu dan nilai tambah kepada mereka khususnya sebagai anak nelayan.

“Kami dah biasa dengan air laut, langgar ombak jadi kami nak cakap mahir itu tidak, tetapi ada pengalaman.

“Kami akan cuba sehabis baik untuk turun padang menyelamat mangsa yang terjejas sekiranya diberikan peluang,” jelasnya.