Kes baharu Covid-19 turun kepada 24,466 pada Ahad

1339541
1339541
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kes harian Covid-19 mencatatkan penurunan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 24,466 kes pada Ahad berbanding 27,299 kes pada Sabtu.

Angka jangkitan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang sudah dijangkiti virus tersebut adalah sebanyak 3,421,802 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 24,361 atau 99.57 peratus berada pada kategori satu dan dua, manakala 105 kes atau 0.43 peratus kategori tiga hingga lima.

“Daripada jumlah kes baharu ini juga, sebanyak 24,220 adalah kes tempatan, manakala 246 kes lagi kes import,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 22,380 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 2,085,940.

Menurutnya, bagi kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah seramai 353 orang dengan 193 lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, penggunaan katil ICU bagi Covid-19 di Kelantan mencatatkan 94 peratus, diikuti Johor (69 peratus); Putrajaya (67 peratus); Kuala Lumpur (62 peratus) serta Perak dan Melaka masing-masing (58 peratus).

“Bagi katil bukan ICU pula, 12 negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kelantan (108 peratus); Selangor (101 peratus); Putrajaya (95 peratus); Kuala Lumpur (94 peratus); Perak (87 peratus); Perlis (74 peratus); Johor (70 peratus); Pahang (66 peratus); Sabah dan Pulau Pinang masing-masing (60 peratus); Terengganu (57 peratus) serta Sarawak (56 peratus).

Artikel Berkaitan:

“Bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hanya satu negeri sahaja menunjukkan peratusan lebih 50 peratus iaitu Melaka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lima lagi kluster baharu dikenal pasti, manakala jumlah kluster yang masih aktif adalah 484.

Tambah beliau, kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.05 dengan Perak mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.32, diikuti Labuan (1.27); Sarawak (1.24); Terengganu (1.22) dan Perlis (1.21), manakala lain-lain negeri mencatatkan Rt bawah 1.20.