Polis elak kemasukan individu tidak berkenaan ke lokasi banjir

Polis akan melakukan SJR di Lubok Jong, Pasir Mas bagi membendung kemasukan individu tidak berkaitan ke lokasi banjir di Rantau Panjang.
Polis akan melakukan SJR di Lubok Jong, Pasir Mas bagi membendung kemasukan individu tidak berkaitan ke lokasi banjir di Rantau Panjang.
A
A
A

PASIR MAS - Polis akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Lubok Jong di sini bagi membendung kemasukan individu tidak berkaitan ke lokasi banjir di Rantau Panjang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, langkah itu bertujuan membendung kemasukan individu secara beramai-ramai yang dibimbangi boleh menyebabkan kesesakan.

"Situasi itu akan menyukarkan kerja pasukan penyelamat untuk masuk memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas.

"Sudah menjadi budaya masyarakat di sini ke kawasan banjir untuk melihat dan bermain air. Sepatutnya keadaan ini tidak berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Sinar Harian Online pada Ahad melaporkan, hujan lebat yang luar biasa serta limpahan air Sungai Golok menyebabkan kesemua kawasan di Rantau Panjang dinaiki air.

Peningkatan paras air secara mendadak juga mengakibatkan ramai penduduk terkandas dalam banjir terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga uzur serta warga emas menghadapi kesukaran untuk berpindah.

Menurut laporan laman sesawang InfoBencanaBanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini seramai 3,918 mangsa banjir di Pasir Mas berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, portal ebanjir.kelantan.gov.my merekodkan tiga sungai di negeri ini masih melepasi paras amaran iaitu Sungai Kusial (Tanah Merah), Sungai Golok di Jenob (Tanah Merah) dan Sungai Golok (Rantau Panjang)

Artikel Berkaitan:

Sehubungan dengan itu, penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir disarankan agar sentiasa waspada dengan keadaan cuaca terkini.