Besut, Jeli paling terjejas banjir

Sebahagian mangsa banjir yang terperangkap berikutan hujan lebat. - Foto Bernama
Sebahagian mangsa banjir yang terperangkap berikutan hujan lebat. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) setakat ini telah merekodkan 52 bilangan kejadian banjir di seluruh Malaysia bermula 23 Februari sehingga Ahad.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, ia melibatkan sebanyak 25 kejadian di Terengganu, 21 kejadian di Kelantan yang dilanda banjir berpunca daripada luruan monsun manakala Selangor merekodkan enam banjir kilat.

“Daerah Besut merekodkan 10 kejadian banjir tertinggi bagi negeri Terengganu, jajahan Jeli lapan kejadian banjir tertinggi bagi negeri Kelantan, manakala daerah Gombak, tiga bagi negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Md Nasir berkata, bagi negeri Kelantan, untuk tempoh 24 hingga 26 Februari 2022, kumulatif hujan tertinggi direkodkan di stesen Ladang Kerila, jajahan Tanah Merah sebanyak 450 mm.

Menurutnya, berdasarkan rekod hujan, kala ulangan purata yang dicerap adalah enam Average Recurrence Interval (ARI) bagi tempoh tiga hari maksimum.

“Selain stesen ini, tiga lagi stesen hujan dengan bacaan hujan yang tinggi bagi tempoh yang sama ialah di stesen hujan Kampung Jenob, Tanah Merah sebanyak 447 mm, stesen hujan Air Lanas, Jeli (391mm) dan stesen hujan Rantau Panjang, Pasir Mas (383 mm),” ujarnya.

Sementara itu, jelasnya, bagi Terengganu, untuk tempoh 24 hingga 26 Februari 2022, kumulatif hujan tertinggi direkodkan di stesen hujan Kampung Embong, Hulu Terengganu adalah sebanyak 508 mm.

Beliau berkata, berdasarkan rekod hujan itu, kala ulangan purata yang dicerap adalah tiga ARI bagi tempoh tiga hari.

Artikel Berkaitan:

“Selain stesen ini, tiga lagi stesen hujan yang menunjukkan bacaan yang tinggi bagi tempoh tiga hari maksimum ialah di stesen hujan Tanjung Mentong, Hulu Terengganu sebanyak 491.5 mm, stesen hujan Yak Yah, Kemaman (486 mm) dan stesen hujan Empangan Kenyir, Hulu Terengganu (482 mm).

“Situasi semasa hujan pada 27 Februari 2022 sehingga jam 10 pagi di daerah Besut, bacaan hujan harian maksimum tertinggi adalah 270 mm di stesen Kampung Keruak dan di daerah Hulu Terengganu, bacaan hujan harian maksimum tertinggi adalah 643 mm di stesen Kampung Embong,” katanya.