Pemandu Hilux punca kemalangan empat sekeluarga maut ditahan

Laporan Sinar Harian mengenai kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Lebuh Raya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur pada Ahad.
Laporan Sinar Harian mengenai kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Lebuh Raya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Lebuh Raya Sultan Iskandar di sini pada Ahad ditahan pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux yang hilang kawalan dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu dari arah Mahameru menghala ke Jalan Tun Razak telah terbabas di selekoh lalu melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.

"Selepas itu Toyota Hilux tersebut telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah MPV jenis Hyundai Starex.

"Akibat dari kemalangan tersebut, empat sekeluarga berusia antara tiga hingga 31 tahun yang berada di dalam Hyundai Starex terbabit telah disahkan maut di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, lelaki berusia 27 tahun yang memandu pacuan empat roda tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Bangi ke Selayang.

Bagaimanapun katanya, destinasi tujuan keempat-empat mangsa yang maut tidak dapat dipastikan.

Katanya, polis akan menjalankan ujian air kencing dan menahan pemandu Toyota Hilux tersebut yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Artikel Berkaitan:

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.