Undi 18: Pengundi muda perlu guna peluang sebaiknya

Muhammad Nazrul Ikmal bergambar dengan kenderaan pasukan Rasuah Busters ketika pasukan itu bertemu penduduk di Bandar Tangkak.
Muhammad Nazrul Ikmal bergambar dengan kenderaan pasukan Rasuah Busters ketika pasukan itu bertemu penduduk di Bandar Tangkak.
A
A
A

TANGKAK - Satu keterujaan buat anak muda apabila dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dan boleh menjadi jentera parti sepanjang tempoh berkempen.

Bagi Muhammad Nazrul Ikmal Mohd Noor Haizee, 20, peluang mengundi akan digunakan sebaiknya selepas kerajaan meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pelajar Tingkatan Enam, jurusan Sains Sosial di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang itu berkata, pengundi muda perlu memanfaatkan peluang memilih barisan kepimpinan yang boleh memimpin negara dengan baik.

Katanya, buat julung kali keistimewaan mengundi diberikan kepada golongan Undi 18 merupakan hak yang perlu ditunaikan bagi memastikan kestabilan politik di Johor khususnya dan negara umumnya.

"Saya rasa sangat bertuah dan teruja untuk turun mengundi pada PRN Johor kali ini selepas lama menanti peluang.

"Pendaftaran pemilih secara automatik yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk Undi 18 merupakan keputusan terbaik kerana semua pengundi baharu diberi peluang memilih.

"Peluang ini perlu dimanfaatkan oleh semua anak muda memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Nazrul berkata, anak muda perlu bijak memilih kerana semua keputusan pada kotak undi akan menentukan nasib 'Bangsa Johor'.

Artikel Berkaitan:

Anak kelahiran Bandar Tangkak itu berkata, golongan Undi 18 perlu ada ilmu berkaitan politik supaya dapat membimbing mereka memilih parti atau pemimpin yang tepat dan tidak mudah terikut dengan propaganda di laman media sosial sahaja.

"Saya bagaimanapun sangat bertuah kerana kebanyakan ahli keluarga berminat dalam politik dan terlibat secara langsung dengan parti terutama datuk dan ayah.

"Semua ini memberi kelebihan untuk saya memahami bidang politik dan membuat pilihan ketika mengundi nanti," katanya.