KPDNHEP, SSM perkenal inisiatif baharu bantu pemulihan ekonomi negara

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperkenalkan inisiatif baharu melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90 peratus daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 yang telah dimansuhkan bermula 1 Mac hingga 30 Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif KPDNHEP melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu bertujuan untuk meringankan beban komuniti korporat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta membantu pemulihan ekonomi negara selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Katanya, pelaksanaan inisiatif berkenaan diharap dapat membantu komuniti peniaga untuk meneruskan perniagaan meskipun berhadapan detik mencabar ketika ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya melalui agensi SSM juga akan meneruskan lima inisiatif yang telah diperkenalkan tahun lepas dengan beberapa penambahbaikan.

"SSM turut meneruskan pelaksanaan inisiatif yang diperkenalkan tahun lepas seperti Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), yang menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT (institut pengajian tinggi) sepenuh masa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) secara percuma diharap dapat menggalakkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi bidang perniagaan secara sah.

Nanta berkata bagi inisiatif lain, SSM akan melanjutkan tempoh masa pendaftaran SSM BizTrust kepada entiti-entiti perniagaan yang berdaftar dengan SSM secara percuma hingga 31 Disember 2022.

Katanya, SSM turut mencadangkan pindaan bagi menambah baik peruntukan-peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 berkaitan mekanisme penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan.

Artikel Berkaitan:

"Penambahbaikan serta pindaan ini akan membolehkan syarikat-syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian agar syarikat boleh terus beroperasi (stay afloat)," jelasnya.

Nanta berkata, melalui inisiatif seterusnya, SSM memperkenalkan peruntukan-peruntukan berkaitan mekanisme penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 bagi entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) yang menghadapi masalah kewangan.

Katanya, rang undang-undang berkenaan bertujuan untuk menambah baik kerangka perundangan sedia ada berkaitan rehabilitasi korporat bagi PLT selain memperkenalkan peruntukan mengukuhkan polisi berhubung kerangka pelaporan pemunyaan benefisial yang komprehensif.

"KPDNHEP dan SSM berharap inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini dapat membantu ke arah pemulihan ekonomi negara sejajar dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM menerusi talian 03-77214000 atau e-mel kepada enquiry@ssm.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Bernama