[VIDEO] Tiga tawaran Amira Aisya untuk DUN Puteri Wangsa

Amira Aisya
Amira Aisya
A
A
A

SHAH ALAM – Aspek pendidikan, kelangsungan peniagaan dan kelestarian hidup menjadi tiga fokus utama calon wanita tunggal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Amira Aisya Abd Aziz daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk DUN tersebut.

Beliau mahu memastikan DUN Puteri Wangsa dapat melahirkan anak-anak yang bijak daripada segi akademik, kepimpinan, teknik vokasional dan banyak lagi.

“Saya percaya pendidikan merupakan tiang utama sesebuah generasi. Sendiri pun masuk ke dalam politik kerana saya fikir pendidikan kita sudah berada di takuk lama dan perlu diperbaharui.

“Saya ingin pastikan bahawa kebajikan semua dalam sektor pendidikan daripada guru sehingga pelajar terjaga dengan baik,” katanya menerusi satu video di saluran YouTube Suara Untuk Semua.

Amira menambah, kelangsungan ekonomi di DUN Puteri Wangsa juga perlu diambil berat, antaranya membabitkan masalah utama dalam menjaga industri dan juga peniaga iaitu birokrasi yang menyukarkan dan melambatkan proses.

“Kita perlu pastikan agar kita mempermudahkan proses mendapatkan lesen perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (IKS) dan peniaga-peniaga kecil.

“Kita buat kelas-kelas pembangunan usahawan dan kita permudahkan proses-proses penyewaan tapak-tapak pasar malam dan menjaga keselamatan makanan,” katanya.

Selain itu, Amira yang juga Setiausaha Agung Muda turut menyatakan hasrat untuk menyediakan pusat komuniti yang boleh menjadi pusat sehenti dan mesra bagi pelajar untuk menjaga ikatan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Kelestarian hidup dalam dibina dengan menyediakan komuniti yang selamat, sejahtera dan juga muafakat

“Jika saya diberikan peluang untuk berkhidmat, tiga tawaran ini akan saya laksanakan untuk Puteri Wangsa, demi Johor,” katanya.

#SuaraUntukSemua adalah usaha bersama oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dengan kerjasama Astro Awani, Sinar Harian, SinChew Daily dan The Star bagi menyediakan akses media saksama kepada semua calon dalam PRN Johor sebagai sebahagian daripada kempen PRN Johor.

Liputan adalah termasuk platform media sosial, media cetak dan TV oleh rakan media terlibat.

Untuk mengambil peluang bagi menyampaikan mesej kepada pengundi, calon boleh merekod video mesej tidak lebih daripada lima minit dan hantarkan kepada BERSIH di media@bersih.org atau Telegram t.me/BersihOfficial sebelum 9 Mac.

Video akan memuat naik di saluran YouTube #SuaraUntukSemua dan media terlibat akan mengambilnya untuk diterbitkan.