Lawatan PM buka lembaran baharu perkukuh hubungan Malaysia-Thailand

Ismail Sabri ketika menjawab soalan dalam sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, pada Sabtu. Hadir sama, Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika menjawab soalan dalam sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, pada Sabtu. Hadir sama, Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pertama ke Thailand membuka lembaran baharu kepada hubungan dua hala dan menjalin kerjasama strategik yang lebih kukuh antara Putrajaya dan Bangkok.

Lawatan julung kalinya ke Thailand selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos tahun lepas itu dilihat bakal membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Sebagai dua negara jiran yang dekat, Ismail Sabri berkata, kerajaan Malaysia dan Thailand sentiasa memastikan hubungan kerjasama yang erat dan utuh ini dapat dikekalkan bagi kepentingan bersama kedua-dua negara.

"Lawatan rasmi pertama saya ke Thailand ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya dalam fasa pemulihan Covid-19.

"Perbincangan saya dan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha turut menyentuh kerjasama Malaysia dan Thailand dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan buruh, selain terus ingin meneroka bidang kerjasama baharu,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di sini pada Sabtu, hari akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Thailand.

Perdana Menteri percaya perkara-perkara yang dibincangkan pada pertemuan dengan rakan sejawatannya itu akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, seterusnya menyumbang ke arah pemantapan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dengan Thailand.

Malaysia dan Thailand telah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Ismail Sabri tiba di Bangkok, Thailand pada Khamis lepas atas jemputan Prayuth.

Artikel Berkaitan:

Lawatan itu adalah sebahagian lawatan pengenalan ke negara Asia Tenggara sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Thailand juga mahu nilai perdagangan antara kedua-dua negara meningkat kepada AS$30 bilion menjelang 2025.

Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di dalam Asean manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia.

Lawatan rasmi itu juga menyaksikan Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara, darat dan laut, selain bersetuju mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing - mySejahtera dan Mor Phrom.

Malaysia dan Thailand turut bersetuju meneroka peluang kerjasama dalam kajian serta penyelidikan vaksin Covid-19 dan juga vaksin-vaksin lain.

Selain itu, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan laluan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dengan Bangkok.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama yang melibatkan serantau dan antarabangsa. - Bernama