'Misi selesaikan tunggakan hutang PHKL RM150,000'

Vikneswaran
Vikneswaran
A
A
A

PENGURUS Pasukan Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, I Vikneswaran kini sah bergelar presiden baharu Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) bagi tempoh 2022-2024.

Pelantikan beliau, yang sebelum ini memangku jawatan presiden dan menggantikan penyandang, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, itu dilakukan secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PHKL di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Megat Shahriman sebelum ini digantung 18 bulan daripada terbabit dalam aktiviti berkaitan hoki setelah didapati melanggar Tatakelakuan Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) pada November 2020.

Sebaik menyandang jawatan tertinggi PHKL, Vikneswaran berkata, misi utamanya ialah menyelesaikan tunggakan hutang persatuan berjumlah RM150,000 yang dijangka dapat dilunaskan dalam masa dua tahun.

"Perkara pertama, kita berusaha bayar hutang ... Kami akan cari dana daripada syarikat swasta serta ahli-ahli gabungan, sasaran saya dapat selesaikan hutang dalam penggal ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas AGM PHKL, pada Sabtu

Turut hadir Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal dan timbalannya Prof Datuk Dr S Shamala.

Vikneswaran pada masa sama berharap dapat membangunkan pasukan hoki Kuala Lumpur dengan memastikan mereka menjalani latihan berprestasi tinggi, selain menyemarakkan aktiviti hoki dengan penganjuran Liga Hoki Kuala Lumpur termasuk di peringkat kanak-kanak.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ahli gabungan serta KHM termasuk Subahan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan terhadap sokongan diberikan kepadanya serta PHKL.

Artikel Berkaitan:

Selain pelantikan Vikneswaran, mesyuarat itu turut menyaksikan Joherman Amir dipilih sebagai timbalan presiden, manakala Hebzibah Sudin yang sebelum ini merupakan naib presiden sekali lagi diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan itu bersama Datuk Rosal Azimin Ahmad, Nasrun Mustapha, P Jasbere Singh dan Sanjay Kumar Saigal. - Bernama