Malaysia, Thai setuju laksana kajian HSR Kuala Lumpur-Bangkok

Ismail Sabri ketika menjawab soalan pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di sini pada Sabtu.- Foto Bernama
Ismail Sabri ketika menjawab soalan pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di sini pada Sabtu.- Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan laluan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Bangkok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata persetujuan itu adalah hasil pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha di Rumah Kerajaan di sini semasa lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu.

"Kami berbincang mengenai keperluan masa akan datang untuk membina kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok. Malaysia sedang menjalankan kajian untuk melaksanakan HSR itu.

"Kita akan minta kementerian dan jabatan yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini pada Sabtu.

Turut dibincangkan dalam pertemuan itu adalah projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand dan kedua-dua negara bersetuju supaya kumpulan kerja pakar serta jawatankuasa teknikal menyegerakan rundingan mengenai pembinaan jajaran jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigren dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Songkhla, selatan Thailand.

Selain itu, kedua-dua pemimpin negara itu juga bersetuju untuk menyambung rundingan berkaitan pelaksanaan dua projek jambatan merentasi Sungai Golok di Kelantan iaitu Jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok dan Jambatan Baharu Pengkalan Kubor-Tak Bai.

Malaysia dan Thailand menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Ismail Sabri berkata kedua-dua mereka turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam kerangka Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) terutama melalui pelaksanaan Kesalinghubungan Projek Fizikal (PCP).

Artikel Berkaitan:

"Adalah penting untuk Malaysia dan Thailand memberi fokus kepada tiga bidang tumpuan utama, iaitu pertanian dan industri asas tani; pelancongan serta produk dan perkhidmatan halal dan merealisasikan Wawasan IMTGT 2036 yang bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan,” katanya. - Bernama